Ku Li: Kelantan Berhak Dapat Royalti Minyak

(Gambar: Puluhan ribu hadir mendengar penjelasan Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung hak Kelantan mendapat royalti minyak)

KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Read More

BEZA PAS & UMNO DALAM ISU ALLAH


Beza PAS dan Umno Dalam Isu Allah

http://peguampas.blogspot.com

Saya ingin mulakan tulisan ini dengan mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah di atas istiqamahnya pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang secara jelas menyatakan bahawa Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain .

Ustaz Hadi menyatakan “ kita tidak boleh melarang mereka ( bukan Islam ) dari menggunakan nama Allah meskipun Allah bagi mereka bukan seperti yang kita yakini iaitu Tuhan yang Esa.” Bagi saya sikap Tuan Guru Presiden ini melambangkan konsistennya budaya PAS iaitu ilmu mendahului emosi, kebenaran mendahului perasaan.

Jika emosi yang menjadi sandaran pegangan PAS sudah tentu PAS boleh dengan mudah mengerahkan para penyokongnya dan umat Islam negara ini mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menentang keputusan Yang Arif Hakim Lau Bee Lan yang membenarkan akhbar Herald menggunakan kalimah Allah di dalam edisi melayu akhbar tersebut.

Namun, tidak seperti Umno , PAS tidak membuat sesuatu pendirian berdasarkan emosi. Bagi PAS jika ajaran Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh mana-mana manusia di dunia ini maka itu jugalah pendirian parti Islam ini.

Ya, mungkin mudah sahaja pendirian seperti ini dimanipulasi oleh mereka yang ingin memanipulasi. Bagi golongan “muta’asibin ( yang taksub ) pendirian PAS ini dianggap satu pendirian yang lunak dan lembut dan sekadar ingin menjaga hati para pengundi bukan Islam.

PAS peka mengambil pendirian sepertimana yang PAS ambil akan mengundang persepsi seperti itu apatah lagi sejak awal Umno memang tidak pernah bercita-cita untuk mendidik rakyat untuk memahami isu ini menurut perspektif yang betul baik perspektif Islam atau perspektif Perlembagaan.

PAS melihat isu ini dari sudut keadilan. Keadilan adalah bersifat mutlak dalam Islam. Ianya bermakna keadilan mesti dilakukan dalam apa juga keadaan dan kepada mana-mana orang.

Kehebatan ajaran Islam tentang perspektif keadilan terserlah apabila ia mengarahkan keadilan itu ditegakkan walaupun ke atas musuh. Permusuhan atau perseteruan tidak boleh menjadi alasan untuk mengkrompomi keadilan.

Kesediaan Rasullulah s.a.w memotong tangan puteri kesayangannya sendiri jika Fatimah terbukti mencuri memperlihatkan betapa tingginya nilai keadilan yang Islam perjuangkan.

Siapa tidak kenal kebobrokan bangsa Yahudi. Apa yang tidak dilakukan oleh orang Yahudi ke atas para Nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Namun tidakkah kita sedar asbabun nuzul ( sebab turun ayat ) surah Al-Nisa ayat 105 menunjukkan bagaimana Islam membebaskan tuduhan ke atas orang Yahudi yang dianiyai dengan tuduhan palsu oleh orang Islam sendiri.

Tu‘ma ibnu Ubayriq , seorang Islam yang mencuri baju besi tetapi kemudiannya meletakkan baju curi tersebut di rumah orang Yahudi. Meskipun Tu’ma bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencuri dan menuduh orang Yahudi itu yang mencuri dan dalam keadaan kaum Tu’ma meminta Rasulullah s.a.w membela Tu’ma namun ayat Allah membebaskan bangsa Yahudi yang dianiyai itu.

Jika emosi dan taksub menjadi taruhan dan sandaran sudah tentu orang Islam yang dibela ( kerana seagama ) dan Yahudi ( berlainan agama dan zalim dengan orang Islam ) dibiarkan terbiar dianiaya.

Tetapi itulah Islam. Keadilannya merentasi garisan perkauman dan keagamaan.

Dalam konteks keadilan itulah PAS mengambil keputusan bahawa adalah tidak adil kita melarang orang Kristian dari menggunakan kalimah Allah. Ada hujah yang menyatakan bahawa Allah bagi orang Kristian tidak sama dengan Allah menurut fahaman orang Islam. Jawab PAS betullah tu. Jika dari awal lagi mereka berpendirian seperti kita sudah tentu mereka sudah Islam.

Sebab itu para Rasul diutuskan untuk berda’wah kerana di samping manusia yang kafir mentauhidkan Allah dalam konteks RububiyyahNya iaitu meyakini Allah sebagai Rabb ( Pentadbir / Penjaga ) alam semesta ini mereka tidak mengesakan Allah yang sama sebagai Tuhan yang selayaknya disembah.

Apabila Hakim Lau Bee Lan menyatakan bahawa Allah bukan ekslusif untuk orang Islam sahaja , dari segi Islam di mana silapnya? Sepertimana kata Yusuf Al-Qardhawi sebaik sahaja kita buka Al-Quran dan membaca Al-Fatihah kita sudah disajikan dengan kalimah “Allahu rabb al-‘alamin” bukan Rabb Al- Muslimin au Rabb al-masihiyyin . Jika dari segi Islam tidak salah adilkah kita untuk menyatakan ianya salah hanya kerana yang menggunakan kalimah itu adalah orang Kristian.

Dalam penghakimannya Hakim Lau Bee Lan menyatakan “adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi pihak KDN kerana dalam satu masa tidak melarang perhimpunan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam ibadat mereka dan aktiviti keagamaan mereka tetapi dalam masa yang sama kalimah yang sama tidak boleh digunakan dalam penerbitan yang tujuannya membantu pengganut Kristian dalam ibadat dan aktiviti keagamaan mereka. Secara jujur saya setuju dengan alasan Hakim itu. Kenapa adanya sikap double standard di situ?

Siapa yang membaca kesemua 57 mukasurat penghakiman Hakim Lau Bee Lan akan tentu terkejut apabila para peguam akhbar the Herald membangkitkan secara terperinci bersama-sama bukti dokumentari bagi menunjukkan bahawa kalimah Allah telah lama digunakan oleh orang Kristian, peguam KDN dikatakan tidak langsung menyangkal hal tersebut.

Sebagai contoh peguam Herald menyatakan sudah 15 abad Kristian dan Arab Muslim telah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk Tuhan yang Esa. Bahasa melayu telah menjadi Lingua Franca kepada penganut Katolik sejak berkurun-kurun khususnya yang tinggal di Melaka dan Pulau Pinang dan telah mengamalkan dan ber”sembahyang” dalam bahasa Melayu.

Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989. Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Alla” dalam terjemahan Melayu.

Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap
pada tahun 1879 sehingga sekarang .

Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan .

Apabila peguam KDN tidak menyangkal dan mempertikaikan fakta-fakta di atas mengapa kita harus marah apabila Mahkamah memutuskan bahawa ia tidak ada pilihan selain menyatakan bahawa kenapa dengan tiba-tiba sahaja kalimah Allah kini tidak boleh digunakan oleh Herald ?

Perlukan saya beritahu KDN bahawa di dalam perbicaraan Mahkamah kaedah yang dipakai adalah “ apabila sesuatu fakta itu tidak disangkal ianya dikira dipersetujui atau diterima.”
Read More

UMNO PERTAHAN NAMA ALLAH, TAPI KHIANAT ISLAM


Umno Pertahan Nama Allah, Tapi Khianat Islam

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap Umno yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara 'fast track'.

PAS mendesak Umno yang bangga dengan status 12 penggal mentadbir Malaysia untuk meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam.

Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana didalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam.

PAS menuntut klausa ini mansuhkan segera.

PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam.

Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.

PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur dihadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang 'berlesen besar'.

Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat judi dan arak dinegara ini. Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam yang bekerja di premis arak dan judi.

Pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan Jabatan-jabatan Agama yang melakukan operasi dipusat-pusat hiburan dan maksiat.

Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan JAWI menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.

PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat.

Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak pra-sekolah, malahan PASTI di Melaka telah disaman oleh kerajaan umno di Melaka

Tidak dilupakan juga, rakaman debat olok-olok yang diadakan oleh Umno bagi mempertikaikan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS.

Walaupun akhirnya debat itu berjaya menjelaskan kejahilan Umno terhadap Islam, namun rakyat melihat mereka sebenarnya mereka sengaja mempermainkan-mainkan dasar-dasar Islam dalam debat yang dianggap memperolokkan Islam keseluruhannya.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno.

Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang berani mencabar Islam di negara ini. PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Read More

TAKZIAH KEPADA PONDOK LUBUK TAPAH


PAS Ucap Takziah Kepada Pondok Lubuk Tapah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Jan: PAS mengucapkan takziah kepada pengurusan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas yang kehilangan tiga blok asrama pelajar lelakinya dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata pondok berkenaan merupakan pusat pengajian agama yang tertua di Kelantan yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman Che Wan pada tahun 1931.

“Pondok ini telah banyak berbakti kepada rakyat Kelantan dan umat Islam di negara ini umumnya dan PAS berharap agar alumni Lubuk Tapah bersama ahli PAS dapat memberikan sumbangan bagi membina semula bangunan yang telah terbakar,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat pondok berkenaan di talian: 09-7905672 atau Saudara Azlan, 014-5064930
Read More

PENGGUNAAN KALIMAH "ALLAH"


Penggunaan Kalimah "Allah"

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010
Read More