KENYATAAN RASMI MURSYIDUL AM PAS


KENYATAAN RASMI

YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN
PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL AM PAS


• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik) dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010
Read More

HIMPUNAN 10 RIBU RAKYAT


Bulan ini, Mac 2010 genaplah 10 tahun Terengganu telah dinafikan hak royalti oleh Kerajaan Pusat. Dalam tempoh 10 tahun ini pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak bagi memastikan royalti dapat dikembalikan ke pangkuan Kerajaan Negeri.

MAMPAT khususnya, dan kini bersama GEGAR telah menjadikan isu royalti sebagai suatu agenda khusus dalam perjuangan kami. Kami bertegas mengatakan bahawa Royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada fakta dan sejarah, dan mesti diserahkan melalui saluran yang betul iaitu Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi berpelembagaan. Kami juga menegaskan bahawa Royalti adalah Royalti dan tidak menerima sama sekali apa yang dinamakan Wang Ehsan, Dana Persekutuan dan sebagainya.

InsyaAllah, seperti dimaklumkan sebelum ini MAMPAT dan GEGAR akan mengadakan suatu Dialog Rakyat berkenaan isu royalti yang melibatkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac ini di TER, Kuala Ibai. Majlis bermula dengan Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah selepas solat Isyak.

Sehubungan itu satu persembahan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti akan menyusul pada 20 Mac ini, Sabtu dengan mengambil peluang keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ke Terengganu. Tuanku dijangkakan tiba pada jam 11.45 pagi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

GEGAR akan mempersembahkan dua Memorandum yang akan mewakili NGO dari Kelantan dan Terengganu. Setakat ini, sebanyak 70 NGO telah menyatakan persetujuan bersama dengan GEGAR dalam isu tuntutan Royalti. Kami masih berusaha bagi menambah bilangan NGO tersebut.

Bagi menjayakan program yang bersejarah ini, semua rakyat dijemput untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti ini. Semua diminta berkumpul pada jam 11 pagi bagi memudahkan perjalanan program.

GEGAR menjangkakan dapat mengumpul sekitar 10 000 rakyat untuk program sambutan ini.

Sekretariat MAMPAT & GEGAR
Read More

KELUAR PARTI "BUANG BURUK"


KUALA TERENGGANU – Proses peralihan kerajaan sebagaimana sasaran Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas, walaupun terpaksa berhadapan dengan isu tindakan keluar parti beberapa wakil rakyat melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak belakangan ini.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, mereka yang terbabit keluar parti ibarat ‘buang buruk’ yang tidak memberi sebarang kekurangan kepada pembangkang.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, kebiasaan pemimpin pembangkang yang keluar parti tidak disertai penyokongnya sebagaimana berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi yakin perkembangan itu tidak akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengambil alih kerajaan.

“Inilah yang memberi kelebihan dan keistimewaan kepada kita apabila pemimpin keluar parti, penyokong tidak ikut serta. Istilah yang sesuai adalah ‘buang buruk’ kerana yang keluar parti hanya individu tertentu sahaja.

“Sebaliknya, apabila pemimpin BN keluar parti, ramai yang akan ikut serta sebagaimana berlaku terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjejaskan UMNO sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan terbaru Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang mengumumkan keluar parti kelmarin dan menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta.

Dalam masa sama, Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim tetap dengan jangkaannya sebelum ini bahawa lebih 10 wakil rakyat akan keluar daripada parti tersebut.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat melihat pemimpin yang keluar parti tidak akan ke mana dalam bidang politik.

Sebaliknya kata beliau, pemimpin itu akan dipandang negatif kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dalam parti dan dianggap tidak tetap pendirian.
Read More

FAHAM DAN HAYATI AJARAN RASULULLAH SAW


- Bukan Hanya Menyambut MaudirRasul dengan cogankata dan lambang

Rhu Rendang, MARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi SAW dengan menghayati ajaranNya yang sebenar.
Katanya, tidak wajar umat Islam menyambut kelahiran Nabi Muhamad SAW sekadar dengan cogankata atau lambang-lambang kemegahannya.

“:Marilah kita (umat Islam) mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhamad SAW dan kerasulanNya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini.

“Bukan hanya sekadar mengagungkan cogankata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajaranNya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, 26 Februari lalu.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang Rasul yang paling hebat di kalangan Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan ‘cahaya’ (Islam) Allah Ta’ala itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang-surut.

Tetapi, kata beliau agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.

“Kejayaan yang dicapai oleh umat Islam yang memakan masa beberapa abad telah mengalamai kehakisan dan kekurangan sifat-sifat manusia yang lemah berlakunya pasang surut.

“Namun, Allah SWT mengekalkan ‘cahaya agama Islam’ dan tidak boleh dipadamkan sehingga Allah menentukan hari kiamat,” tegasnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi berkata terserah kepada umat Islam pada hari ini yang berada di zaman ‘surut’ (lemah) untuk beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.
Read More