BERI PELUANG ISLAM MEMERINTAH


Beri Peluang Islam Memerintah

MARANG - Ekoran kegagalan kerajaan-kerajaan pro-barat yang gagal memerintah di negara-negara umat Islam, PAS membuka peluang mempelawa masyarakat antarabangsa agar memberi peluang kepada Islam memerintah.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata situasi ketegangan dan tunjuk perasaan yang berlaku di Mesir menuntut perubahan kerajaan yang memerintah kerana kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah

“Di Mesir juga berlaku kezaliman dan kekejaman, sudah beberapa orang pemimpin yang syahid di tali gantung, yang dibunuh, yang hilang. Akhirnya, berlakukan satu ledakan yang dahsyat pada hari ini.

“Rakyat Mesir keluar ke jalan raya. Mereka keluar bagi menunjukkan kemahukan mereka untuk membuat perubahan di Mesir

“Mereka mendesak supaya Hosni Mubarak berundur dan menubuhkan kerajaan peralihan yang tidak melibatkan pemimpin-pemimpin rasuah dan khianat,” tegasnya ketika berucap pada demonstrasi aman menyokong kebangkitan rakyat Mesir, dekat sini semalam.

Himpunan itu juga adalah bertujuan memeberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya jangan campur tangan dalam krisis yang melanda negara-negara Timur Tengah kini.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, Amerika dan sekutunya telah mula bersuara agar Hosni Mubarak berundur dengan meletakkan orang yang boleh meneruskan dasarnya.

Katanya, pihak barat dan sekutu Amerika mahukan kerajaan berubah tetapi bukan dari kumpulan Islam yang memerintah.

“Dan telah ada kenyataan-kenyataan Amerika dan sekutunya supaya Mubarak berundur dengan meletakkan orang-orang yang dasarnya sama dan caranya sama, semata-mata untuk menjaga kepentingan Amerika.

“Sudah ada kenyataan mereka (barat) mahu kerajaan (Mesir) berubah tetapi bukan dari kumpulan Islam yang memerintah (Mesir),” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan perubahan yang ingin dilakukan oleh rakyat Mesir akibat tindakan zalim dari pemerintahnya.

Katanya, meski pun kumpulan Islam menyertai pilihan raya tetapi pelbagai penipuan dilakukan bagi mengekalkan kerajaan Mubarak di Mesir

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Read More

UCAPAN 'SALAM' TANDA HORMAT ISLAM


Ucapan 'Salam' Tanda Hormat Islam

KUALA TERENGGANUKetua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Tian Chua mengucapkan salam, adalah sebagai menghormati orang Islam.

Menurutnya, orang Islam seharusnya berbangga dengan perkembangan itu yang memperlihatkan orang bukan Islam sudah mula mendekati agama suci itu.

“Kita harap dia dekati Islam dan kita berdukacita dengan mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan itu, sedangkan sepatutnya kita berbangga.

“Ini adalah hasil kesedaran dia dan rasa dekat dengan Islam. Kita harap suatu masa nanti dia akan bersama-sama dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ucapan ‘Assalamualaikum’ oleh Tian Chua ketika berceramah di Taman Gunung Emas di Labis 22 Januari lalu sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Nik Zawawi berkata, tidak menjadi sebarang masalah kepada orang bukan Islam untuk memberi salam kerana ia dianggap tidak bercanggah dengan prinsip Islam selagi tidak mempermainkan agama.

“Lainlah kalau dia kata ‘Assam-'alaikum’ kerana ‘Assa’ itu bermaksud celaka. Apa yang disebut Tian Chua tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang beranggapan ucapan tersebut sebagai mainan, beliau menganggap kenyataan sedemikian tidak berasas.

Beliau berkata, masyarakat Islam seharusnya mempelajari berhubung pengucapan salam sama ada ia diucap secara mengejek ataupun sebagai menghormati orang Islam.

“Bagaimanapun, tidak menjadi satu kewajipan kepada orang Islam untuk menjawab salam sekiranya orang bukan Islam yang memberinya tetapi hukumnya harus dan sebaik-baiknya kita jawab,” katanya.-SinarHarian
Read More