NILAI-NILAI EIDULFITRI


Rasulullah SAW bersabda;

أَنْ أَصْحَابَ الْرَسُوْلِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوْا اِذَا الْتَقَىْ بَعْضَهُمْ بِبَعْضِ يَوْمَ الْعِيْدِ قَالُوا : تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ .
( رواه أحمد )

Maksudnya : “ Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu antara mereka pada hari raya, mereka mengucapkan mudah-mudahan Allah SWT menerima amalan kamu” Hadis riwayat Ahmad.

Setelah sebulan lamanya umat Islam menghayati bulan Ramadan al Mubarak dan sudah menerima tarbiyah di bulan tersebut dengan melaksanakan ibadat puasa dan lain-lain dengan patuh dan ikhlas kepada Allah SAW, maka sudah tentu diharapkan nilai-nilai ketaqwaan kepada Allah SWT telah mewarnai kehidupan mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” ( Al Baqarah : 183 )

Ibadat puasa telah membentuk rohani dan jasmani umat Islam menjadi semakin sihat dan segar. Jiwa mereka semakin teguh, daya tahan, jati diri dan daya juang makin meningkat. Kesabaran dan ketabahan dalam menempuh kehidupan semakin mantap. Semangat berjihad semakin membara dan subur serta banyak lagi nilai-nilai baik dan murni yang telah mengangkat darjat mereka menjadi orang muttaqin. Orang yang bertaqwa sudah tentu memancarkan kebaikannya, bukan sahaja dalam lingkungan hidupnya, tetapi juga kepada lingkungan yang lebih luas tanpa sempadan.

Boleh diumpamakan mereka yang sudah berjaya menempuhi bulan Ramadan seperti pasukan tentera yang sudah beredar dari medan pertempuran setelah berjaya mengalahkan musuh dan mendapat kemenangan. Demikianlah ibarat seorang muslim yang sudah berjaya menempa dirinya melalui ibadat puasa dan ibadat yang lain. Mereka sudah diliputi oleh perasaan gembira dan bersyukur melebihi dari perasaan gembira para petani yang berjaya mengutip hasil tanaman yang diusahakan dengan tangannya sendiri setelah bermandikan percikan peluh dan keringatnya. Bukan sahaja dia telah menikmati nilai-nilai rohani dan jasmani, tetapi juga telah berjaya melaksanakan perintah Allah SWT dan dapat melahirkan sifat taqwa pada dirinya, kerana taqwa adalah merupakan sebaik-baik bekalan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di Akhirat kelak.

Dua tahap kegembiraan yang diperolehi oleh orang yang berhasil puasanya, pertama ketika berbuka puasa dan kedua; ketika bertemu mengadap tuhan pada hari Kiamat. Sabda Rasulullah SAW;

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ؛ فَرْحَةٌ عِنْدَ إِفْطَارِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءَ رَبِّهِ.
( الحديث )

Maksudnya : “Bagi seorang yang berhasil puasanya ada dua waktu kegembiraan. Pertama; waktu berbuka puasa ( selesai menunaikan ibadat puasa ) dan kedua; ketika bertemu mengadap tuhannya”.

Sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kemenangan limpahan kurniaan Ilahi itu, maka semenjak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan yang melabuhkan tirainya sampai berlansungnya sembahyang Hari Raya Fitrah pagi 1 Syawal umat Islam seluruh pelusuk dunia mengagungkan Allah SWT dengan serentak melaungkan kalimah takbir, tahlil, tasbih dan tahmid.

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ اللهُ اَكْبَرُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَ اللهُ اَكْبَرُ. اَللهُ اَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ اللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا ، وَسُبْحَانَ اللهَ بُكْرَةً وَاَصِيْلاً ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدَ اِلاَّ اِياَّهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ ، لاَ اِلَهَ اِلاَ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ ، اَللهُ اَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
.

Kalimah yang suci bergema memenuhi ruang angkasa raya, mengikrar kebesaran dan keagungan Ilahi. Pengakuan yang diucapkan dengan lisan, menembusi ke dalam hati dan insya Allah akan memberi kesan kepada pembentukan jiwa yang sentiasa taat, patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Di samping itu mereka merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah SWT. Hidup dan mati dalam keadaan beriman dan Islam sahaja yang diredhai Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." ( Ali Imran : 102 )

Hari Raya Fitrah adalah hari kebesaran bagi orang beriman yang dikurniakan oleh Allah SWT. Mereka menjadi tetamu Allah SWT menjamu selera dan dilarang berpuasa pada hari tersebut. Menyambutnya dengan rasa penuh kegembiraan dan kesyukuran. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka dapat mengambil iktibar dan kejayaan dan kemenangan tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dalam peperangan al Ahzab menentang tentera bersekutu kafir yang ingin menghancurkan umat Islam yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke 5 hijrah.

Apa yang penting kepada kita umat Islam ketika menyambut hari raya ini di samping kita memuja dan memuji kebesaran Allah, sejak dari malam 1 Syawal sehingga sembahyang sunat Hari Raya , pastikan seluruh anggota keluarga kita menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Memakai pakaian baru dan bersopan. Menyediakan juadah dan kuih muih dengan tidak membazir. Kita juga dikehendaki menyambutnya dengan adab dan tatasusila yang telah ditetapkan oleh Islam. Janganlah kita terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya dan cara yang dilakukan oleh orang barat dan jahiliyyah yang asing daripada budaya kita, seperti menyambutnya dengan nyayian dan konsert hiburan yang melampau dan melalaikan. Sebaliknya hendaklah kita menghidupkan Hari Raya dengan mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi dan maaf bermaafan antara satu sama lain. Di samping kita tidak lupa kepada saudara kita yang fakir dan miskin. Membantu mereka dengan menunaikan zakat fitrah, sedekah jariah agar mereka dapat bersama merayakan hari kebesaran ini.

Di dalam keghairahan dan suasana kegembiraan menyambut Hari Raya, kita hendaklah tidak lupa kepada saudara seagama kita yang menderita akibat pencerobohan dan keganasan serta kezaliman yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam sebagaimana yang berlaku ke atas umat Islam Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thailand, Somalia dan lain-lain lagi. Mereka adalah saudara kita dunia dan akhirat. Persaudaraan tanpa mengira sempadan, bangsa dan warna kulit. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW;

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَِخِيْهِ مَا يُحِّبُ لِنَفْسِهِ
Maksudnya : “ tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri ”

مِنَ الْعَائِدِيْنَ وَالْفَائِزِيْنَ . كُلُّ عَامٌ وَاَنْتُمْ بِخَيْرٍ

Semuga kita kembali dari medan juang sebagai pemenang. Setiap tahun anda dalam kebaikan.
Read More

ZAKAT FITRAH MENYEMPURNAKAN PUASA




Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan dirinya." ( Surah Al ‘A’la : 14 )

Zakat Fitrah ialah makanan yang wajib dikeluarkan pada hari Raya Puasa oleh tiap-tiap orang Islam yang mempunyai makanan yang lebih bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya untuk siang dan malam Hari Raya.

Dinamakan Zakat Fitrah kerana ia wajib dikeluarkan setelah selesai mengerjakan ibadat puasa sebulan dalam bulan Ramadan. Ia mula disyariatkan pada bulan Sya’ban tahun ke-2 Hijrah dan difardhukan ke atas umat Islam pada setiap Ramadan.

Sebagai salah satu daripada rukun Islam, zakat merupakan sistem sosial dan ekonomi Islam yang berperanan sebagai perlaksanaan tanggungjawab sosial terhadap sesama umat Islam, terutamanya dalam membela nasib golongan fakir dan miskin. Zakat merupakan ibadat yang melahirkan kesedaran dalam diri seseorang muslim bahawa harta yang dimiliki itu adalah amanah Allah SWT yang di dalamnya ada hak orang lain yang mesti ditunaikan.

Zakat Fitrah mempunyai banyak hikmat. Antaranya:

Pertama : Dapat membersihkan puasa seseorang daripada perbuatan tertentu yang merosakkan pahala seperti perkataan lagha dan keji sebagaimana sabda Rasulullah saw :

فَرَضَ رَسُولُ الله صلى عَليهِ وَسَلَّم زَكاةَ الفِطْرِ طَهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ الَّلغْوِ وَالرَّفْثِ طُعْمَةً لِلْمَسَاكِيْنَ فَمَنْ اَدَاهَا قَبْلَ الصَّلاةِ فَهِىَ زَكاةً مَقْبُوْلَةً وَمَنْ اَدَاها بَعْدَ الصَّلاةِ فَهِىَ صَدَقَةً مِنَ الصَّدَقاَتِ

Maksudnya : ” Rasulullah SAW mewajibkan setiap Muslim mengeluarkan zakat Fitrah, kerana ia membersihkan orang berpuasa daripada kata-kata yang tidak bermanfaat dan keji serta makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum sembahyang Hari Raya, maka ia adalah zakat yang diterima Allah SWT. Manakala sesiapa yang mengeluarkannya selepas sembahyang, maka ia adalah sedekah.” (Riwayat Abu Daud,Ibnu Majah dan al Hakim)

Kedua : Zakat Fitrah menyempurna dan melengkapkan ibadat puasa. Kekurangan pahala puasa disebabkan kelalaian, kesalahan dan dosa yang dilakukan semasa berpuasa dapat diperbaiki dengan mengeluarkan zakat. Kedudukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan adalah sama seperti sujud sahwi dalam sembahyang. Apabila sujud sahwi dapat melengkap dan menyempurnakan sembahyang, maka begitulah dengan zakat Fitrah dapat melengkap dan menyempurnakan pahala puasa. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda:

صَوْمُ شَهْرِ رَمَضَانَ مُعَلَّقٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَاْلأَرْضِ وَلا يَرْفَعُ اِلاَّ بِزَكاةِ الْفِطْرِ

Maksudnya : “ Pahala puasa Ramadan itu tergantung di antara langit dan bumi. Zakat Fitrahlah yang akan menyampaikannya." ( Riwayat Abu Hafs Ibnu Shahin)

Ini bermakna sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya, sedangkan ia berkemampuan, maka pahala puasanya tidak akan diterima.

Ketiga : Dapat mengukuh dan mempereratkan hubungan ukhuwwah sesama Islam. Terutamanya antara golongan kaya dengan miskin. Golongan miskin dapat bergembira sama menyambut hari raya apabila mereka diberi kecaknaan dan pembelaan daripada golongan yang berada.

Keempat : Dapat membersihkan jiwa umat Islam daripada sifat-sifat keji, penyakit bakhil, tamak dan sayangkan harta. Sebaliknya menggalakkan mereka membelanjakan harta ke jalan kebajikan, kerana sayang kepada harta sukar di atasi kecuali dengan adanya kesedaran yang tinggi.

Kelima : Dapat melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT, kerana harta yang wajib dikeluarkan zakat bukan merupakan hak milik orang yang mengeluarkannya. Ia adalah hak Allah SWT yang wajib diserahkan kepada orang yang berhak menerimanya. Tidak mengeluarkan zakat, bermakna menahan dan memakan hak orang lain yang jelas haram hukumnya.

Waktu mengeluarkan zakat adalah sebagai berikut:

Wajib - Sesudah jatuh matahari akhir bulan Ramadan.
Sunat - Selepas sembahyang subuh hingga Imam mendirikan sembahyang hari raya.
Harus - Dari awal bulan Ramadan
Makruh - Selepas sembahyang hari raya hingga jatuh matahari hari Raya
Haram - Sesudah jatuh matahari hari raya.

Zakat fitrah mengandungi dua aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Manusia sebagai hamba Allah SWT dan manusia yang bersaudara sesama mereka. Membayar zakat merupakan pernyataan Iman kepada Allah SWT dan melahirkan hubungan kasih sayang dan persaudaraan sesama manusia terutama golongan kaya dengan golongan miskin. Saling membantu antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan di dunia ini.
Read More

KHUTBAH EIDULFITRI 1430 H



Khutbah AidulFitri 1430H


Salam Muslimin/ Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk mendapatkan khutbah Hari Raya Puasa 1430H ini, anda bolehlah teruslah membuka di url ini ;


atau



Syukran Jazilan

Wassalam.
Read More

BILA BERLAKUNYA LAILATUL QADAR


Para ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir. Tarikh dan masanya tidak diketahui kerana Allah SWT dan RasulNya tidak memberitahunya kerana ada hikmatnya tersendiri. Oleh itu kita dituntut supaya bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan tidak membezakan hari-hari tertentu dengan hari yang lain. Di samping itu juga supaya umat Islam sentiasa berusaha mengerjakan ibadat pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada malam-malam tertentu sahaja.

Kelebihan Lailatul Qadar tidak dianugerahkan kepada sebarangan orang, tetapi dianugerahkan kepada yang benar-benar berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kelebihannya dengan penuh ikhlas, jujur, khusyuk, tawadduk dan istiqamah dalam beribadat. Merekalah yang akan mendapat peluang bertemu dengan Lailatul Qadar.

Apa yang mesti kita lakukan apabila bertemu dengan Lailatil Qadar. Kita hendaklah lakukan sebagaimana hadis yang diriwayatkan Aisyah RA. Beliau berkata: “ Wahai Rasulullah SAW bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar?. Apa yang perlu saya ucapkan pada malam itu?.

Baginda bersabda: “ Ucapkanlah Ya Allah, kami bermohon padaMu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni hamba-hambaMu, maka ampunlah( dosa-dosa) kami . (Riwayat at-Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad )

Setengah daripada tanda-tanda Lailatul Qadar ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan oleh al Hasan…“Nabi SAW telah keluar, sedangkan orang ramai sedang bertelingkah, maka Nabi bersabda: Aku keluar kepada kamu dan aku akan memberitahu kepada kamu tentang Lailatul Qadr, tetapi aku khuatir kalau kamu berpegang kepadanya dan semoga menjadi lebih baik, kerana itu kamu cari Lailatul Qadr itu pada malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh dan pada akhir malam Ramadhan dan tanda-tandanya udara malam itu tenang, tidak panas dan tidak sejuk, matahari terbit pada paginya tidak tajam cahayanya, siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr terdorong oleh iman dan benar-benar mengharapkan pahala dari Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampunkan semua dosa yang terjadi sebelumya."

Mengenai berlaku malam al-Qadr, para ulama berbeza pendapat mengenainya;

1. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan Lailatul Qadr itu bergilir-gilir dari tahun ketahun. Apabila ia berlaku pada 29 Ramadan pada tahun ini, maka pada tahun hadapan berlaku malam yang lain pula.

2. Ibnu Hazm pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam-malam ganjil 21,23,25,27 atau 29 Ramadan.

3. Ibnu Arabi dan lain-lain pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam Jumaat ganjil iaitu malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

4. Jumhur ulama pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam yang sama setiap Ramadan; pada malam 27 berdasarkan hadis Rasulullah SAW “ Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatul Qadr pada malam 27’.
Read More

KELEBIHAN LAILATUL QADR


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al Quran) pada malam al Qadar. Adakah kamu tahu wahai Muhammad apakah lailatul qadar itu? lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr :Ayat 1-3)

Dinamakan Lailatul Qadar kerana kemuliaan, kelebihan, dan banyak pahala bagi orang yang mendapatkannya. Ganjaran dan nikmat berlipat ganda diberikan kepada mereka yang menghidupkan malam tersebut. Sesungguhnya ganjaran dan nikmat yang besar ini hanyalah dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak dikurniakan kepada umat-umat terdahulu. Ini kerana usia umat Nabi Muhammad SAW SAW lebih pendek berbanding dengan umat terdahulu. Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT memberi peluang kepada umatnya beramal dengan nilai yang sama dengan amal umat terdahulu dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

Mengikut pendapat Syeikh Muhammad Abduh dinamakan Lailatul Qadr ialah kerana pada malam itu Allah SWT mula mentakdirkan agamaNya dan memerintah nabiNya menyeru manusia kepada agamaNya yang menghindar manusia daripada kerosakan dan kehancuran. Malam tersebut adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat dan pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Sementara itu ada ulama yang berpendapat bahawa malam itu Allah SWT menetapkan takdir bagi setiap makhluk, termasuk umur, rezki, sihat dan sakit dalam jangka masa setahun; bermula Lailatul Qadr tahun ini hingga Lailatul Qadr tahun hadapan. Almarhum Assyahid Syed Qutb pula berpendapat malam itu dinamakan Lailatul Qadr mungkin dimaksudkan dengan takdir dan tadbir atau malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi yang bererti malam yang amat tinggi nilai dan darjatnya atau malam yang agung.

Lailatul Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah dipilih oleh Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul al Quran atau permulaan suluhan cahaya agama Allah ke seluruh alam, kerana al Quran itu mengandungi akidah, kepercayaan, syariat dan adab cara yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati. Mengikut Syed Qutb, Lailatul Qadr sebenarnya suatu malam yang sungguh agung, kerana pada malam itulah Allah menjelaskan segala urusan yang bijaksana , meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar , neraca dan menetapkan nasib individu, umat, kerajaan, bangsa-bangsa, hakikat akidah, peraturan dan hati-hati manusia. Para ulama lain menyatakan kelebihan Lailatul Qadr ini disebabkan:

Pertama : Besar qadar, kemuliaan dan pahala bagi orang yang mengerjakan ibadat puasa pada siangnya dan qiyamullail pada malamnya.

Kedua: Diturunkan padanya al-Quran sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baytulizzah (langit dunia). Kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berperingkat-peringkat dalam masa dua puluh tahun.

Ketiga: Allah SWT mentakdirkan pada malam al-Qadar itu perkara yang menzahirkan segala maqadir (ketetapan) yang pada azali hendak diturunkannya ke atas segala hambaNya pada tahun berkenaan. firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan pada malam lailatul Qadar itu dipisah-pisahkan segala pekerjaan yang dijanjikan daripada rezeki” (Al-Dukhan 3-4)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu Ramadan bulan diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya. Dibuka segala pintu Syurga, ditutup pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan.Padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Mereka yang tidak diberi kebaikan pada malam itu bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Abu Hurairah)
Read More

KELEBIHAN BERSEDEKAH


Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." ( Al Baqarah : 261 )

Ayat di atas membuktikan kepada kita kelebihan bersedekah pada jalan Allah SWT. Allah SWT telah mengumpamakan pemberian (sedekah) itu seperti sebiji benih yang akan tumbuh menjadi tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula ada seratus biji.

Kekayaan dan kemiskinan adalah merupakan suatu ujian ke atas diri manusia. Orang yang kaya jika tidak dipandu dengan iman, pasti harta kekayaannya menjadikan dirinya binasa. Orang miskin pula, jika tidak bersabar akan ujian yang menimpa atas dirinya, pasti banyak pula kejahatan-kejahatan yang dilakukan. Contohnya mencuri, merompak dan sebagainya akibat dari desakan hidup. Oleh sebeb itulah Islam menggalakkan umatnya bersedekah. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan untuk membantu golongan miskin.

Bersedekah juga merupakan tanda keimanan seseorang Islam kepada Allah SWT kerana dengan bersedekah akan dapat mewujudkan sifat belas kasihan, berkasih sayang dan juga tolong-menolong antara orang kaya dengan orang miskin. Dengan jalan bersedekah, sekurang-kurangnya akan mengingatkan orang kaya tentang kesusahan dan akan dapat menggembirakan hati orang miskin. Akhirnya akan wujud suasana kasih sayang, belas kasihan dan tolong-menolong. Orang kaya dan miskin pula akan saling mendoakan bagi kebaikan antara mereka.

Imam Nawawi mengatakan bukti kukuhnya iman ialah dengan bersedekah kerana biasanya orang munafik boleh bersembahyang, tetapi tidak mudah untuk bersedekah.

Islam bukan sahaja mendorong umatnya bersedekah dalam bentuk harta benda, namun sedekah juga dikira dengan melakukan segala perkara kebaikan kepada sesama manusia. Walau bagaimanapun amalan banyak bersedekah dengan harta benda terutama dalam bulan Ramadan sangatlah dituntut. Di dalam Islam amalan bersedekah yang digalakkan seperti berikut;

1. Senyuman - yang ikhlas yang diberikan untuk orang lain merupakan sedekah. Dengan senyuman, kita dapat merapatkan ukhuwah dan kasih sayang serta menggembirakan hati saudara kita.

2. Amar makruf dan nahi mungkar - Berpesan-pesan dengan kebaikan dan mencegah berlakunya kemungkaran merupakan satu sedekah. Keadaan ini boleh diertikan sebagai menyelamatkan saudara kita dari azab neraka.

3. Menyelesaikan masalah orang lain - Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa menunjukkan jalan kepada orang yang sesat merupakan sedekah. Sekiranya kita menyelesaikan kesusahan dan melepaskan saudara kita daripada kesempitan maka perbuatan kita itu dikira sebagai sedekah.

4. Membuang sesuatu yang menghalang di jalan laluan - Membuang benda-benda yang berbahaya dan menghalang serta mengganggu perjalanan seperti duri, kaca, kayu, dan sebagainya juga merupakan sedekah.

5. Memberikan khidmat - Sedekah juga dapat dilakukan dengan menolong orang yang memerlukan pertolongan dengan memberikan bantuan tenaga atau perkhidmatan.

Pemberi sedekah hendaklah benar-benar ikhlas terhadap pemberiannya. Ianya bukan untuk dibalas atau dipuji. Sebaliknya apa yang diberi hanyalah untuk mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Juga tidak dibenarkan mengunkit-ungkit terhadap pemberian tersebut. Sekiranya diungkit maka sedekahnya itu tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Read More

AL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang mana bahan bakarannya itu terdiri daripada manusia dan batu . Di dalam neraka itu ditugaskan malaikat-malaikat yang kasar lagi garang dan mereka tidak sekali-kali derhaka kepada Allah s.w.t dan membuat apa sahaja yang diperintahNya untuk melakukannya”. (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Ramai di kalangan manusia yang hanya memberi perhatian kepada perkara-perkara di dalam dunia, sekadar untuk mencukupkan makan dan minum, menyediakan pakaian, tempat tinggal dan kehidupan yang selesa di atas dunia sahaja. Ramai yang lupa kepada hari akhirat.

Allah SWT mengingatkan kita di dalam ayat tersebut tentang perkara-perkara yang dilupai oleh kita iaitu perjalanan yang jauh yang mewajibkan kita menyediakan bekalan yang secukupnya.

Bekalan itu ialah iman dan akhlak yang baik kerana di alam akhirat itu neraka disediakan kepada mereka yang tidak beriman dan beramal soleh. Mereka akan menjadi umpan api neraka bersama manusia dan batu-batu yang disembah. Allah SWT memberi amaran di dalam neraka itu disediakan malaikat-malaikat yang garang, bengis, tidak ada sedikit pun kasihan belas dalam diri mereka. Tabiat mereka ialah taat kepada Allah SWT. Kerjanya ialah bagi menghumbankan ahli-ahli maksiat ke dalam neraka jahanam. Tujuannya supaya orang yang beriman memelihara diri mereka dengan iman dan amal soleh. Sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Kitab Al-Quran ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang muttaqin” (Surah al-Baqarah, ayat 1-2).

Rasulullah s.a.w mengajar umat Islam bagaimana beramal dengan Al-Quran melalui perkataan Baginda, perbuatannya dan segala tindak tanduk dalam kehidupannya. Oleh itu jangan kita terpengaruh dengan perkara-perkara yang diadakan dan direka yang tidak ada kena mengena dengan Rasulullah s.a.w. Sabda Nabi s.a.w :

من احدث في امرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya :
“ Sesiapa yang mengadakan perkara baru dalam urusan agama padahal ia bukan dalam agama maka ia akan ditolak”.

Kita perlu berpegang dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Beriman dengan petunjuk Allah SWT berdasarkan perinsip percaya kepada Allah SWT, pada zatNya, sifatNya, namaNya dan segala perkara yang menjadi milik Allah SWT. Perkara iman itu diajar oleh Rasulullah s.a.w dengan segala rukunnya dan penjelasan yang jelas serta menyatakan bahawa iman itu akan berdepan dengan cabaran di sepanjang zaman. Ia akan diuji dan dicuba. Kita akan berdepan dengan berbagai-bagai cabaran dan fahaman yang direka untuk memesong iman umat Islam.

Pendedahan tentang iman yang sebenar perlu diterapkan kepada anak-anak dan keluarga kita. Jangan dirosakkan dengan perkara yang membatalkannya sama ada melalui ibadah atau fahaman ciptaan manusia yang lahir dalam perjalanan hidup di zaman kini di atas nama berbagai-bagai ideologi dan teori. Semuanya itu boleh membatalkan iman seseorang. Bila iman terbatal maka terhapuslah segala amalan seseorang itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Demi sesungguhnya telah dinyatakan kepada kamu dan kepada orang-orang sebelum kamu jika sekiranya kamu sendiri wahai Muhammad s.a.w menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain maka terhapuslah amalan kamu dan di akhirat nanti kamu berada di kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, ayat 65).

Marilah kita menjaga iman kita kerana ianya menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Di samping itu kita perlu memelihara diri kita dengan Islam dan beramal dengan Islam dalam hubungan dengan Allah SWT. Hubungan sesama manusia dan makhluk Allah SWT. Kita diajar supaya berhubung dengan Allah SWT melalui ibadah-ibadah dalam kehidupan ini. Umat Islam diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya :

مروا اولادكم بالصلاة وهم ابناء سبع وأضربوهم عليها وهم ابناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع

Ertinya :
“Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang apabila berumur tujuh tahun, pukullah jika tidak bersembahyang bila berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah dari tempat-tempat tidur mereka di antara lelaki dan perempuan.”

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w mengajar kita bagaimana beramal dalam hubungan dengan Allah SWT, iaitu mengajar anak-anak di dalam perkara yang wajib seperti sembahyang, puasa di bulan Ramadhan, mengetahui perkara maksiat dan perkara haram. Hendaklah di ajar anak-anak dengan akhlak mulia.

الزموا اولاكم واحسنوا اخلاقهم

Ertinya:
“Lazimilah anak-anak kamu dan perbetulkanlah akhlak mereka.”

Begitulah pesanan Rasulullah s.a.w supaya mengajar anak-anak kita menjadi orang yang ikhlas dalam hubungan dengan Allah SWT. Menjadi anak yang baik dalam hubungan keluarga dan masyarakat. Dunia hari ini dilanda dengan keruntuhan akhlak yang parah, yang merosak dan menghilangkan taraf kemanusiaan kerana tidak mengira haram dan halal. Pelbagai gejala dan perbuatan tidak sihat berlaku. Semua itu menggawatkan lagi keruntuhan akhlak.

Di saat manusia bergelombang dengan perkara kufur, marilah kita menjaga diri dan keluarga supaya tidak terjerumus ke dalam kemusnahan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41).

Kita melihat kemusnahan yang berlaku di darat, laut dan menyusahkan kehidupan mereka kerana hilangnya berkat daripada Allah SWT. Apabila manusia mengerjakan maksiat bukan sahaja keruntuhan akhlak yang berlaku tetapi keruntuhan dunia dengan berbagai-bagai bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, bahkan kenaikkan harga barang dan yang TERKINI kenaikan harga petrol serta kesempitan hidup.

Sebelum mereka bertemu dengan kematian sebenar di akhirat kelak. Kepada orang-orang yang beriman, diberi amaran oleh Allah SWT supaya iman yang ada dalam hati mereka menyahut seruan daripada Allah SWT untuk memelihara diri daripada menjadi umpan api neraka. Marilah sama-sama kita menyelamatkan diri kita.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat di dalam keadaan buta". (Surah Taha, ayat 124).
Read More