Saturday, September 19, 2009

NILAI-NILAI EIDULFITRI


Rasulullah SAW bersabda;

أَنْ أَصْحَابَ الْرَسُوْلِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوْا اِذَا الْتَقَىْ بَعْضَهُمْ بِبَعْضِ يَوْمَ الْعِيْدِ قَالُوا : تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ .
( رواه أحمد )

Maksudnya : “ Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu antara mereka pada hari raya, mereka mengucapkan mudah-mudahan Allah SWT menerima amalan kamu” Hadis riwayat Ahmad.

Setelah sebulan lamanya umat Islam menghayati bulan Ramadan al Mubarak dan sudah menerima tarbiyah di bulan tersebut dengan melaksanakan ibadat puasa dan lain-lain dengan patuh dan ikhlas kepada Allah SAW, maka sudah tentu diharapkan nilai-nilai ketaqwaan kepada Allah SWT telah mewarnai kehidupan mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” ( Al Baqarah : 183 )

Ibadat puasa telah membentuk rohani dan jasmani umat Islam menjadi semakin sihat dan segar. Jiwa mereka semakin teguh, daya tahan, jati diri dan daya juang makin meningkat. Kesabaran dan ketabahan dalam menempuh kehidupan semakin mantap. Semangat berjihad semakin membara dan subur serta banyak lagi nilai-nilai baik dan murni yang telah mengangkat darjat mereka menjadi orang muttaqin. Orang yang bertaqwa sudah tentu memancarkan kebaikannya, bukan sahaja dalam lingkungan hidupnya, tetapi juga kepada lingkungan yang lebih luas tanpa sempadan.

Boleh diumpamakan mereka yang sudah berjaya menempuhi bulan Ramadan seperti pasukan tentera yang sudah beredar dari medan pertempuran setelah berjaya mengalahkan musuh dan mendapat kemenangan. Demikianlah ibarat seorang muslim yang sudah berjaya menempa dirinya melalui ibadat puasa dan ibadat yang lain. Mereka sudah diliputi oleh perasaan gembira dan bersyukur melebihi dari perasaan gembira para petani yang berjaya mengutip hasil tanaman yang diusahakan dengan tangannya sendiri setelah bermandikan percikan peluh dan keringatnya. Bukan sahaja dia telah menikmati nilai-nilai rohani dan jasmani, tetapi juga telah berjaya melaksanakan perintah Allah SWT dan dapat melahirkan sifat taqwa pada dirinya, kerana taqwa adalah merupakan sebaik-baik bekalan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di Akhirat kelak.

Dua tahap kegembiraan yang diperolehi oleh orang yang berhasil puasanya, pertama ketika berbuka puasa dan kedua; ketika bertemu mengadap tuhan pada hari Kiamat. Sabda Rasulullah SAW;

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ ؛ فَرْحَةٌ عِنْدَ إِفْطَارِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءَ رَبِّهِ.
( الحديث )

Maksudnya : “Bagi seorang yang berhasil puasanya ada dua waktu kegembiraan. Pertama; waktu berbuka puasa ( selesai menunaikan ibadat puasa ) dan kedua; ketika bertemu mengadap tuhannya”.

Sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kemenangan limpahan kurniaan Ilahi itu, maka semenjak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan yang melabuhkan tirainya sampai berlansungnya sembahyang Hari Raya Fitrah pagi 1 Syawal umat Islam seluruh pelusuk dunia mengagungkan Allah SWT dengan serentak melaungkan kalimah takbir, tahlil, tasbih dan tahmid.

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ اللهُ اَكْبَرُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَ اللهُ اَكْبَرُ. اَللهُ اَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ اللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا ، وَسُبْحَانَ اللهَ بُكْرَةً وَاَصِيْلاً ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدَ اِلاَّ اِياَّهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ ، لاَ اِلَهَ اِلاَ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ ، اَللهُ اَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ
.

Kalimah yang suci bergema memenuhi ruang angkasa raya, mengikrar kebesaran dan keagungan Ilahi. Pengakuan yang diucapkan dengan lisan, menembusi ke dalam hati dan insya Allah akan memberi kesan kepada pembentukan jiwa yang sentiasa taat, patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Di samping itu mereka merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah SWT. Hidup dan mati dalam keadaan beriman dan Islam sahaja yang diredhai Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." ( Ali Imran : 102 )

Hari Raya Fitrah adalah hari kebesaran bagi orang beriman yang dikurniakan oleh Allah SWT. Mereka menjadi tetamu Allah SWT menjamu selera dan dilarang berpuasa pada hari tersebut. Menyambutnya dengan rasa penuh kegembiraan dan kesyukuran. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka dapat mengambil iktibar dan kejayaan dan kemenangan tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dalam peperangan al Ahzab menentang tentera bersekutu kafir yang ingin menghancurkan umat Islam yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke 5 hijrah.

Apa yang penting kepada kita umat Islam ketika menyambut hari raya ini di samping kita memuja dan memuji kebesaran Allah, sejak dari malam 1 Syawal sehingga sembahyang sunat Hari Raya , pastikan seluruh anggota keluarga kita menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Memakai pakaian baru dan bersopan. Menyediakan juadah dan kuih muih dengan tidak membazir. Kita juga dikehendaki menyambutnya dengan adab dan tatasusila yang telah ditetapkan oleh Islam. Janganlah kita terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya dan cara yang dilakukan oleh orang barat dan jahiliyyah yang asing daripada budaya kita, seperti menyambutnya dengan nyayian dan konsert hiburan yang melampau dan melalaikan. Sebaliknya hendaklah kita menghidupkan Hari Raya dengan mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi dan maaf bermaafan antara satu sama lain. Di samping kita tidak lupa kepada saudara kita yang fakir dan miskin. Membantu mereka dengan menunaikan zakat fitrah, sedekah jariah agar mereka dapat bersama merayakan hari kebesaran ini.

Di dalam keghairahan dan suasana kegembiraan menyambut Hari Raya, kita hendaklah tidak lupa kepada saudara seagama kita yang menderita akibat pencerobohan dan keganasan serta kezaliman yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam sebagaimana yang berlaku ke atas umat Islam Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thailand, Somalia dan lain-lain lagi. Mereka adalah saudara kita dunia dan akhirat. Persaudaraan tanpa mengira sempadan, bangsa dan warna kulit. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW;

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَِخِيْهِ مَا يُحِّبُ لِنَفْسِهِ
Maksudnya : “ tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri ”

مِنَ الْعَائِدِيْنَ وَالْفَائِزِيْنَ . كُلُّ عَامٌ وَاَنْتُمْ بِخَيْرٍ

Semuga kita kembali dari medan juang sebagai pemenang. Setiap tahun anda dalam kebaikan.

0 comment:

Post a Comment