Tuesday, September 1, 2009

AL-QURAN SEBAGAI PANDUAN HIDUP


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang mana bahan bakarannya itu terdiri daripada manusia dan batu . Di dalam neraka itu ditugaskan malaikat-malaikat yang kasar lagi garang dan mereka tidak sekali-kali derhaka kepada Allah s.w.t dan membuat apa sahaja yang diperintahNya untuk melakukannya”. (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Ramai di kalangan manusia yang hanya memberi perhatian kepada perkara-perkara di dalam dunia, sekadar untuk mencukupkan makan dan minum, menyediakan pakaian, tempat tinggal dan kehidupan yang selesa di atas dunia sahaja. Ramai yang lupa kepada hari akhirat.

Allah SWT mengingatkan kita di dalam ayat tersebut tentang perkara-perkara yang dilupai oleh kita iaitu perjalanan yang jauh yang mewajibkan kita menyediakan bekalan yang secukupnya.

Bekalan itu ialah iman dan akhlak yang baik kerana di alam akhirat itu neraka disediakan kepada mereka yang tidak beriman dan beramal soleh. Mereka akan menjadi umpan api neraka bersama manusia dan batu-batu yang disembah. Allah SWT memberi amaran di dalam neraka itu disediakan malaikat-malaikat yang garang, bengis, tidak ada sedikit pun kasihan belas dalam diri mereka. Tabiat mereka ialah taat kepada Allah SWT. Kerjanya ialah bagi menghumbankan ahli-ahli maksiat ke dalam neraka jahanam. Tujuannya supaya orang yang beriman memelihara diri mereka dengan iman dan amal soleh. Sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Kitab Al-Quran ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang muttaqin” (Surah al-Baqarah, ayat 1-2).

Rasulullah s.a.w mengajar umat Islam bagaimana beramal dengan Al-Quran melalui perkataan Baginda, perbuatannya dan segala tindak tanduk dalam kehidupannya. Oleh itu jangan kita terpengaruh dengan perkara-perkara yang diadakan dan direka yang tidak ada kena mengena dengan Rasulullah s.a.w. Sabda Nabi s.a.w :

من احدث في امرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya :
“ Sesiapa yang mengadakan perkara baru dalam urusan agama padahal ia bukan dalam agama maka ia akan ditolak”.

Kita perlu berpegang dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Beriman dengan petunjuk Allah SWT berdasarkan perinsip percaya kepada Allah SWT, pada zatNya, sifatNya, namaNya dan segala perkara yang menjadi milik Allah SWT. Perkara iman itu diajar oleh Rasulullah s.a.w dengan segala rukunnya dan penjelasan yang jelas serta menyatakan bahawa iman itu akan berdepan dengan cabaran di sepanjang zaman. Ia akan diuji dan dicuba. Kita akan berdepan dengan berbagai-bagai cabaran dan fahaman yang direka untuk memesong iman umat Islam.

Pendedahan tentang iman yang sebenar perlu diterapkan kepada anak-anak dan keluarga kita. Jangan dirosakkan dengan perkara yang membatalkannya sama ada melalui ibadah atau fahaman ciptaan manusia yang lahir dalam perjalanan hidup di zaman kini di atas nama berbagai-bagai ideologi dan teori. Semuanya itu boleh membatalkan iman seseorang. Bila iman terbatal maka terhapuslah segala amalan seseorang itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Demi sesungguhnya telah dinyatakan kepada kamu dan kepada orang-orang sebelum kamu jika sekiranya kamu sendiri wahai Muhammad s.a.w menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain maka terhapuslah amalan kamu dan di akhirat nanti kamu berada di kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, ayat 65).

Marilah kita menjaga iman kita kerana ianya menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Di samping itu kita perlu memelihara diri kita dengan Islam dan beramal dengan Islam dalam hubungan dengan Allah SWT. Hubungan sesama manusia dan makhluk Allah SWT. Kita diajar supaya berhubung dengan Allah SWT melalui ibadah-ibadah dalam kehidupan ini. Umat Islam diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya :

مروا اولادكم بالصلاة وهم ابناء سبع وأضربوهم عليها وهم ابناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع

Ertinya :
“Ajarlah anak-anak kamu bersembahyang apabila berumur tujuh tahun, pukullah jika tidak bersembahyang bila berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah dari tempat-tempat tidur mereka di antara lelaki dan perempuan.”

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w mengajar kita bagaimana beramal dalam hubungan dengan Allah SWT, iaitu mengajar anak-anak di dalam perkara yang wajib seperti sembahyang, puasa di bulan Ramadhan, mengetahui perkara maksiat dan perkara haram. Hendaklah di ajar anak-anak dengan akhlak mulia.

الزموا اولاكم واحسنوا اخلاقهم

Ertinya:
“Lazimilah anak-anak kamu dan perbetulkanlah akhlak mereka.”

Begitulah pesanan Rasulullah s.a.w supaya mengajar anak-anak kita menjadi orang yang ikhlas dalam hubungan dengan Allah SWT. Menjadi anak yang baik dalam hubungan keluarga dan masyarakat. Dunia hari ini dilanda dengan keruntuhan akhlak yang parah, yang merosak dan menghilangkan taraf kemanusiaan kerana tidak mengira haram dan halal. Pelbagai gejala dan perbuatan tidak sihat berlaku. Semua itu menggawatkan lagi keruntuhan akhlak.

Di saat manusia bergelombang dengan perkara kufur, marilah kita menjaga diri dan keluarga supaya tidak terjerumus ke dalam kemusnahan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41).

Kita melihat kemusnahan yang berlaku di darat, laut dan menyusahkan kehidupan mereka kerana hilangnya berkat daripada Allah SWT. Apabila manusia mengerjakan maksiat bukan sahaja keruntuhan akhlak yang berlaku tetapi keruntuhan dunia dengan berbagai-bagai bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, bahkan kenaikkan harga barang dan yang TERKINI kenaikan harga petrol serta kesempitan hidup.

Sebelum mereka bertemu dengan kematian sebenar di akhirat kelak. Kepada orang-orang yang beriman, diberi amaran oleh Allah SWT supaya iman yang ada dalam hati mereka menyahut seruan daripada Allah SWT untuk memelihara diri daripada menjadi umpan api neraka. Marilah sama-sama kita menyelamatkan diri kita.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat di dalam keadaan buta". (Surah Taha, ayat 124).

0 comment:

Post a Comment