1 MALAYSIA BERCANGGAH DENGAN PARTI KOMPONEN BN


1 Malaysia Bercanggah Dengan Parti Komponen BN

BESUT - Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, yang juga Ketua penerangan Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata slogan 1Malaysia bercanggah dengan perjuangan parti-parti komponen utama Barisan Nasional (BN) termasuk Umno.

Oleh itu katanya, pemimpinan BN termasuk Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sesuai bercakap mengenai 1Malaysia

Ia adalah kerana menurutnya, UMNO jelas memperjuangkan nasib Melayu, manakala MCA memperjuangankan kaum Cina dan MIC hanya memperjuangankan kaum India sahaja yang samasekali bercanggah dengan konsep 1Malaysia.

“1Malaysia bercanggah dengan perjuangan UMNO sedangkan UMNO menentang kaum lain. Bila buat polisi, Umno hanya mementingkan kaum Melayu,

"sebagai contoh yang jelas dan terang, polisi perkhidmatan awam dan kenaikan pangkat, Umno hanya pentingkan orang-orang Melayu dan memingggirkan kaum-kaum lain,"ujarnya ketika dihubungi.

Katanya, perkara yang serupa berlaku apabila Menteri MCA atau MIC menguasai sesuatu kementerian, menjadi kebiasaan menteri-menteri tersebut 'bias' kerana mereka memperjuangankan kaum-kaum, bukannya 1Malaysia.

Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menyeru semua pemimpin BN berhenti bercakap tentang 1Malaysia bahkan pemimpin Umno, MCA dan MIC wajib menolak 1Malaysia, sehingga parti-parti komponen membetulkan halatuju parti masing-masing.

"Tak guna bercakap 1Malaysia sedangkan pemimpin Umno berkata kaum Cina adalah pendatang, menjadi pelacur dan kaum India juga kaum pendatang yang menjadi peminta sedekah,"jelasnya, mengulangi apa yang pernah diucapkan oleh pegawai Perdana Menteri tidak berapa lama dulu.

Pada masa sama, beliau berkata, 1Malaysia dilihat tiada hala tuju dan rmelihat pemimpin UMNO terpaksa mewujudkan slogan sedemikian kerana kaum-kaum lain berasa terpinggir akibat Umno hanya pentingkan Melayu.

“Apabila nasi sudah menjadi bubur, baru mereka mahu buat 1Malaysia sedangkan kaum lain sudah mula memberi undi dan perhatian kepada pembangkang,” katanya.
Read More

KERAJAAN NEGERI TERENGGANU BANGKRAP ??


Kerajaan Negeri Terengganu Bankrap??

KUALA TERENGGANU – Banyak penyelewengan yang telah di lakukan oleh Umno dalam pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, politik, dan undang-undang.

Ahli-ahli dan penyokong PAS digesa menggunakan isu penyelewengan tersebut bagi membuktikan kepada rakyat bahawa, sudah tiba masanya PAS menggantikan Umno sebagai pemerintah.

”Penyelewengan-penyelewengan Umno dalam banyak bidang. Bidang ekonomi, bidang politik, bidang undang-undang dan sebagainya,

“maka, kita guna itu semua untuk membuktikan betapa PAS mesti ganti Umno. Sama ada disukai oleh Umno atau tidak disukai oleh Umno,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib ketika berucap dalam Seminar ‘PAS Ganti Umno’ (PGU), di Kuala Ibai, disini, semalam.

Menurut Ustaz Harun, Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadikan negeri Terengganu ‘hampir bankrap’ kerana telah membelanjakan wang dengan begitu banyak.

“Negeri Terengganu ini duit banyak tapi belanja tidak cukup. Terengganu ini hampir bankrap dan boleh kata bankrap lah.

”dalam (pembentangan) Bajet 2011 (di Sidang DUN) baru-baru ini habis pitis (wang) tinggal RM200,000 sahaja,”jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir.

Ustaz Harun mendakwa, Umno Terengganu bukan sahaja membelanjakan wang royalti petroleum, bahkan wang dari sumber ‘Kumpulan Wang Disatukan’ juga habis.

“Habis pitis (wang) dia buat belanja belaka. Pasal apa pitis itu bukan pitis dia, pitis orang dia buat belanja juga…sebab itu, saya kata kerajaan Umno-Barisan Nasional Terengganu ini ‘kemaruk’.

”Pitis royalti (petroleum), pitis itu, pitis ini dia buat belanja belaka, dia panggil pitis Kumpulan Wang Yang Disatukan. Duit ini habis dia belanja tidak ada ‘skepeng habuk’,

”selepas itu belanja lagi dia ambil pitis mana, Kumpulan Wang Amanah Yang Disatukan. Wang kita bayar deposit, bayar api, bayar air macam-macamlah. Habis dia ambil dia buat belanja,”tegasnya.

Beliau mendedahkan, baki akaun kewangan kerajaan Terengganu sebenarnya tidak ada dan nilai RM200,000 itu wujud apabila dicampur dengan wang dari Kumpulan Wang Amanah Yang Disatukan.
Read More

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT PAS GANTI UMNO


Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti Umno’

KUALA TERENGGANU ; PAS Negeri Terengganu akan menganjurkan siri Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) ke seluruh negeri Terengganu, bermula pada 15 Januari depan di Chukai, Kemaman.

Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata Jawatankuasa Bertindak Penggerak Masyarakat ‘PAS Ganti Umno’ telah digerakkan bagi menyebarkan maklumat dan penerangan mengapa perlu PAS menggantikan Umno menjelang pilihanraya akan datang.

”Kita (PAS) telah mula mengedar dan membekalkan dan menaikkan kain-kain rentang dan poster-poster ‘PAS Ganti Umno’,

”kita juga telah bertemu dan menggerakkan semua bloggers dan pengendali laman-laman internet kita, supaya mereka dapat memainkan peranan, mencetuskan tulisan-tulisan dan artikel-artikel ‘PAS ganti Umno’,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluannya dalam Seminar ‘PAS Ganti Umno’ yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Ibai, disini semalam, 24 Disember.

Katanya, Seminar PGU yang diadakan itu adalah merupakan langkah muqaddimah kepada ‘himpunan mega’ yang telah dirancang.

”Langkah-langkah ini kita harap akan menjadi suatu mukaddimah, yang InsyaAllah kita akan mengadakan satu perhimpunan untuk mengumpulkan bukan sahaja ahli-ahli, penyokong-penyokong tetapi semua lapisan masyarakat,”jelasnya

Beliau turut memaklumkan, pengesahan kehadiran pimpinan besar Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang Palimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam himpunan tersebut.
Read More

RIYAPADU LANGGAR PERJANJIAN KONTRAK


Riyapadu Sdn. Bhd Langgar Perjanjian Kontrak

Saman RM1 Bilion: PAS pertahankan hak rakyat

KUALA TERENGGANU: PAS mempertahankan tindakannya menamatkan kontrak konsesi pembalakan yang diberikan kepada Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd ketika memerintah kerajaan Terengganu.

Tindakan tersebut kerana mahu mempertahankan hak dan harta rakyat dari diceroboh kerana tanggungjawab PAS terhadap rakyat serta amanah kepada Allah SWT.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali mendakwa telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat Riyapadu Sdn. Bhd.

Katanya, syarikat berkenaan gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

“Kita hendak mempertahankan harta rakyat, balak ini harta rakyat. Kita tidak boleh membiarkan dia (Riyapadu) mengerjakan balak dengan premium tidak dibayar mengikut jadual.

“Ini akan merugikan rakyat, kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat, amanah kita dengan Allah SWT kita tidak boleh buat main-main.

“Keputusan itu dibuat dengan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri. Ini kerana, telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, 13 Disember lalu.

Menurutnya, pada tahun 2003 kerajaan negeri membuka satu tender terbuka bagi kawasan pembalakan seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Katanya, syarikat Riyapadu terbabit telah terpilih serta diluluskan oleh jawatankuasa tender dari enam buah syarikat yang memohon.

Menurutnya, selepas ditawarkan sudah tentu terdapat terma-terma perjanjian yang ditetapkan serta perlu dipatuhi.

Dato’ Mustafa yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan PAS Terengganu ketika itu menjelaskan syarikat Riyapadu berkenaan gagal membayar premium ditetapkan dalam perjanjian meski pun kerja pembalakan diteruskan.

“Selepas ditawarkan ada penjanjian. Bayaran premium kena bayar ikut jadual yang dipersetujui dan ditetapkan dalam perjanjian itu. Selepas itu, diberi lesen dan balak dikeluarkan.

“Kita ikut perjanjian dan sampai suatu masa yang sepatutnya Riyapadu ini membayar premium mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian. Dia gagal, dia tidak bayar. Premium itu tidak dibayar tetapi balak dikerjakan,” ujarnya.

Mengulas dakwaan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said kononnya menjadi mangsa tuntutan saman RM1 bilion oleh Riyapadu kerana terpaksa menanggung beban dan natijah kepincangan kerajaan pimpinan PAS.

Beliau menyifatkan Mat (Ahmad) Said seorang Menteri Besar yang tidak cerdik serta tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti.

“Saya merasakan sebagai seorang Menteri Besar, Mat (Ahmad) Said tidak reti sebenarnya beza antara kerajaan dengan parti politik. Sebab, kerajaan ini satu entiti dan parti ini satu entiti yang lain.

“Dulu saya dengar ‘Mat Said’ ini orang Umno kata, bukan saya kata ini, bodoh ‘Mat Said’ ini. Saya tidak mahulah guna istilah itu tetapi saya kata dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat itu tidak cerdik Mat Said ini,” ujarnya.

Menurutnya, tujuan kenyataan tersebut dibuat untuk mendapat ‘political mailers’ tetapi boleh menimbulkan subjudis kerana kes masih dalam proses mahkamah.

Katanya, kes mahkamah belum selesai tetapi telah diberi gambaran oleh akhbar seolah-olah kerajaan terpaksa menanggung beban RM1 bilion itu.

“Saya faham sebenarnya untuk dapat ‘political mailers’ tetapi kena faham sebab kes mahkamah ini boleh menimbulkan subjudis kerana proses mahkamah belum selesai.

“Tetapi, gambaran yang diberi oleh akhbar-akhbar ini seolah-olahnya kerajaan ini terpaksa tanggung beban RM1 bilion. Ini satu persepsi yang salah dan dari segi proses mahkamah pun dia boleh menimbulkan subjudis,” tegasnya.

Malah, menurutnya tidak pernah seorang pun di kalangan pimpinan bekas kerajaan PAS Terengganu dipanggil memberi keterangan atau sebagai saksi di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Dato’ Abdul Rahim Muda dalam penghakiman 27 Oktober memerintahkan defendan (kerajaan Terengganu) mengembalikan wang RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plaintif (Riyapadu) pada 2003 bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16,587 hektar.

Mahkamah juga memerintahkan bayaran faedah RM7.55 juta pada kadar faedah empat peratus setahun termasuk baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak sebanyak RM166,432.86 dibayar kepada plaintif.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Read More

IJTIMA' ULAMA' DAN ULAMA' PELAPIS TERENGGANU 2010

Sekitar Ijtima' Ulama' dan Ulama' Pelapis Terengganu 2010

Pendaftaran Peserta

Ucapan Aluan Daripada Pengarah Ijtima', Ust Abu Bakar Abdullah

Ulama' Pelapis Kuala Terengganu dan Marang

Kehadiran Gabungan Ulama' dan Ulama' Pelapis Yang Amat Memberangsangkan

Ucaptama Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Dato Ust Hussain Awang

Ulama' dan Ulama' Pelapis Khusyuk Mendengar Ucaptama Ketua DUPNT



Ketua Lajnah Keahlian dan Ulama' Pelapis Terengganu, Ust Nik Nasri Nik Malek

Ucapan AJK Lajnah Keahlian dan Ulama' Pelapis Dewan Ulama PAS Pusat, Ust Alias Kelate

Dialog, Ust Halias Memulakan Pertanyaan dan Menyatakan Pandangan


Resolusi Yang Disampaikan Oleh Ust Soud, AJK Dewan Ulama' Terengganu

Penyerahan Resolusi Ijtima' Kepada Ketua DUPNT, oleh Pengarah Ijtima'

Ijtima' Diakhiri Dengan Jamuan Makan Tengahari, Jam 01 Petang
Read More

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1432 OLEH PRESIDEN


Perutusan Maal Hijrah 1432 Dari Presiden PAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)


1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010
Read More

DUN KEMASIK DAN CHUKAI BOLEH MENANG


KEMAMAN: PAS Kawasan Kemaman yakin dengan perkembangan politik semasa di Terengganu boleh memenangi dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik dan Chukai.

Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun berkata dua Dun di Kemaman berpotensi besar untuk PAS menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Katanya, Dun Kemasik dan Dun Chukai juga termasuk dalam sasaran parti untuk menang dengan ‘simple’ majoriti 17 kerusi Dun dalam pilihan raya tersebut.

“Saya harap dalam pilihan raya akan datang Dun Kemasik ini boleh menang dan kita yakin dengan perkembangan politik semasa ini boleh menang.

“Dua Dun di Kemaman ini ada potensi untuk PAS menang iaitu di Dun Kemasik dan Dun Chukai, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Peringkat Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik di Pasti Al-Abrar, Kampung Gelogor, Kertih, Kemaman paad 24 November lalu.

Menurutnya, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik diberi penghormatan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menjadi Dun pertama dilancarkan gerak kerja pilihan raya di negeri ini.

Katanya, Dun Kemasik terletak dalam lingkungan para pengundi yang boleh mengeksas dengan internet serta media baru.

Tambah beliau minda serta pemikiran rakyat di kawasan bandar serta pinggir bandar tidak mudah ‘dibeli’ kerana terdedah dengan sumber maklumat sebenar.

MTD Kemasik terdapat 10 Unit Peti Undi (UPU) PAS iaitu UPU Batu Putih, UPU Felda Kertih 5, UPU Kampung Ranggon, UPU Kuala Kertih, UPU Pekan Kertih, UPU Tanjung Pantai, UPU Ayer Jernih, UPU Kampung Chabang, UPU Felda Kertih 6 dan UPU Kampung Tok Kaya.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta dihadiri oleh Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman dan Pengarah MTD Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid.
Read More

USUL BINCANG KEKELIRUAN EIDUL ADHA DITOLAK


Usul Bincang Kekeliruan Aidiladha Ditolak

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub agar membincangkan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi dewan ditolak dalam kamar.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul di bawah perkara 18 (1) itu atas alasan ianya sudah dibincangkan sebelum ini.

Sehubungan itu, Salahuddin dalam dewan hari ini bangkit menggunakan peraturan 14 (1)(i) memohon Menteri Di Jabatan Perdana Menteri memberikan penerangan mengenai isu yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

Timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandi bagaimanapun tidak menerima permohonan itu kerana usul berkenaan telah ditolak dalam kamar.

Sementara itu, Salahuddin dalam sidang media di lobi Parlimen selepas itu memberitahu, beliau akan menghantar satu notis kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta menteri atau timbalan menterinya hadir ke parlimen esok memberikan penjelasan.

"Saya bangkit tadi menggunakan peraturan 14 (1) (i) saya memohon pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh menggunakan peraturan 14 (1)(i) dalam memberikan penerangan untuk mengambil tanggungjawab menjelaskan isu ini.

"Saya tak ada peluang lagi untuk membahaskan isu ini kerana perbincangan di peringkat jawatankuasa kementerian-kementerian, JPM telah selesai," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mempersoal kelewatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan.

"JAKIM mengeluarkan kenyataan rasmi yang disiarkan dalam semua media kerajaan pada 21 November sedangkan hari raya Aidil Adha di negara ini pada 17 November.

"Setelah saya masukkan usul ini dan disiarkan media barulah Jakim memberikan penjelasan tentang hari Tasyrik dan beri penjelasan kenapa hari raya Aidil Adha berselisih dua hari dengan tarikh wukuf di Arafah.

"Saya berasa sepatutnya apabila pihak kerajaan mendapat tahu bila hari wukuf di Arafah, JPM dan Jakim mesti memberikan penjelasan kepada rakyat di negara ini paling lewat pun pada 14 November," katanya.

18 November lalu, Salahuddin mengemukakan usul berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam usul tersebut, beliau mendakwa sambutan Aidil Adha pada Rabu lalu "sangat pelik", menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".

Ihsan: Harakahdaily
Read More

PAS WAJIB GANTI UMNO


PAS Tidak Akan Naik Kapal Bocor

Ustaz Idris Haji Ahmad

Parti Islam Semalaysia PAS menolak pelawaan Datuk Ahmad Maslan untuk menyertai BN.

PAS tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam, malahan PAS akan berusaha supaya ahli-ahli umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan PAS.

PAS tidak akan bersama dengan BN sebaliknya terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti.

Sekarang Umno sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi.

Perjuangan yang hanya mementingkan ”perutism” sahaja.

Menjadikan perjuangan sebagai batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.

Umno hanya boleh hidup dengan 3 M sahaja, iaitu Wang, jentera kerajaan dan media.

Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata.

Jika Umno tidak ada 3 M maka umno akan berkubur begitu sahaja.

PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, kerana ini adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia yang agak muda.

Umno dengan kekuatan media perdana ynag berada di tangan mereka cuba menggelapkan berita kebaikan PAS yang telah disumbangkan melalui Pakatan Rakyat, kes banjir di Kedah adalah satu contoh.

PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai idelologi yang jelas dan mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan ahli yang ikhlas akan terus mara kedepan bagi membentuk lanskap baru dalam politik negara.

PAS menganggap cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad.

Apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang?

Rakyat merasakan sudah cukup penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh mereka dengan tekanan hidup akibat salah guna kuasa.

Walaupun negara ini adalah anugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai rakyat yang tidak bertanah.

Contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air.

PAS tidak akan izinkan Umno, mengkhianat rakyat untuk separuh abad yang kedua pula.

PAS Wajib Ganti Umno
Read More

KHUTBAH KHAS EIDUL ADHA 1431 H


Khutbah KHAS Eidul Adha 1431 H : Tuan Guru Presiden PAS

...Menderhakai Allah dan Rasulullah saw itu bukan sahaja apabila meninggalkan ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Termasuk juga dalam perkara maksiat besar menderhakai Allah dan Rasul apabila memakan makanan yang haram, hasil kerja yang haram, memakai pakaian yang tidak menutup aurat, tidak memberi nafkah yang wajib dan juga tidak bermuamalat dalam urusan perniagaan dan sebagainya. Tidak terkecuali, begitu juga mentadbir dan memerintah negara dengan tidak mengikut hukum Allah dan Rasul-Nya saw...


Khutbah KHAS ini dalam bentuk PDF, Sila KLIK Di Sini.

atau

Khutbah KHAS ini dalam bentuk PDF, Sila KLIK Di Sini.


SALAM EIDUL ADHA

KULLU 'AAM WA ANTUM BIKHAIR
Read More

HARI KESENIAN ISLAM MADRASAH DAR TERENGGANU 2010

Hari Kesenian Islam Dar-dar Terengganu 2010

Read More

LAHIRKAN ULAMA' 'TUKUL BESI'


SETIU: Perwakilan PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mencadangankan agar Dewan Ulama’ PAS Terengganu berusaha dengan semaksima mungkin untuk melahirkan tokoh-tokoh pelapis ulama’ muda.

Katanya, PAS perlu melahirkan seberapa ramai pelapis ulama’ muda yang boleh menguasai ilmu dakwah dan politik.

“Kita di Terengganu tidak kurang pelapis-pelapis ulama’ muda, cuma pelapis-pelapis ulama’ muda ini perlu diberi kedudukan dan suatu tempat yang sepatut dan selayaknya.

“Tempat yang sesuai dengan kelayakan dan kedudukan mereka supaya dapat memberikan input yang besar dalam perjuangan kita ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu 2010 kali ke-14, di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, Setiu, 23 Oktober lalu.

Menurutnya, golongan ulama’ merupakan teras kepimpinan parti yang terus memancu PAS bagi menerajui perubahan.

Selain itu, katanya ulama’ juga perlu membakar semangat serta membangkitkan roh jihad di kalangan pejuang Islam PAS.

“Ulama’ perlu membakar semangat atau membangkitkan semangat jihad seperti yang pernah dilakukan oleh seorang ulama’ di Terengganu suatu ketika dahulu.

“Ustaz Awang Nasaruddin atau dikenali sebagai Ustaz Awang ‘tukul besi’ yang dalam ucapannya selalu membaca ayat-ayat jihad dan perjuangan.

“Jadi ulama’ kena main peranan membakar semangat ahli-ahli supaya cintakan jihad dan perjuangan Islam walau pun terpaksa mengorbankan masa, wang ringgit, darah dan nyawa demi Islam,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengingatkan agar Dewan Ulama’ PAS Terengganu juga tidak menghiraukan masalah remeh-temeh yang ditimbulkan hingga menjejaskan tumpuan parti.

Katanya, masalah remeh-temeh itu diibaratkan ‘kemuncup’ yang tidak memudaratkan tetapi sekadar mengganggu sahaja.

“Kita minta Dewan Ulama’ PAS Terengganu supaya tidak menghiraukan masalah remeh-temeh yang disifatkan ‘kemuncup’ di sepanjang jalan. Ianya tidak memudaratkan tetapi sekadar mengganggu kelancaran parti,” jelasnya.

Seramai 15 perwakilan mengambil bahagian masing-masing membahaskan ucapan dasar presiden parti terdiri dari Dewan Ulama’, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS, wakil-wakil PAS kawasan.
Read More

JAWAPAN TG NIK AZIZ - FATWA IKUT SUKA PAS


"Bismillahir-Rahmanir-Rahim: Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden Umno ketika berkempen di Galas, semalam (27 Oktober) yang disiarkan (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, ms 3) dengan tajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS.”

Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut : ''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA."

Nampaknya pilihan raya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan pemimpin Umno menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat melibatkan DAP. Nampak sangat kemarahan Umno apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar Umno apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina berikut orang Cina sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Sukacita saya jelaskan, ada bezanya kerjasama antara Umno dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama antara PAS dan DAP mahu pun KeAdilan di dalam Pakatan Rakyat. Ia bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin Umno sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, pemimpin yang sama telah mencadangkan supaya mata pelajaran Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib untuk peperiksaan SPM bermula tahun 2013. Menunjukkan di sini Sejarah amat penting. Cuma saya ingin mengingatkan bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu. Makaa, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional tidak lebih sebagai perangkap bagi PAS. PAS bersama Umno membentuk Barisan Nasional demi perpaduan. Namun hasilnya PAS di Kelantan telah berpecah kepada empat, iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Malangnya selepas Umno kembali kuat, PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan Umno? Tangan Umno yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat dan diselamatkan oleh PAS. Apabila, terselamat lalu PAS ketika sarat dengan masalah terus ditendang ke laut, lemas keseorangan.

Di sini sukacita dinyatakan, hubungan PAS dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, ia tiada unsur khianat dan PAS tidak dikhianati. Jika pemimpin Umno bertanya, apa bezanya kerjasama dalam Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Awal-awal PAS sudah nyatakan, jika mahu teruskan kerjasama dengan PAS, kita tak akan buang dasar Islam, jika dibuang maka tiadalah PAS, kerana adanya PAS adalah untuk berjuang Islam. Dan PAS masih tetap dengan agenda Islam. Kerana kita yakin, perjuangan Islam sedia memberi keadilan untuk semua.

Seketika dulu, DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Tetapi mereka mula faham dengan keadilan prinsip Islam yang berjaya ditunjukkan setelah 20 tahun PAS mentadbir Kelantan. Di sini kita lihat, pemimpin DAP tidak anti Islam kerana mereka secara beransur-ansur kini mula mengenali Islam. Malah di Pulau Pinang kini yang diperintah DAP, kita dapati ketua menterinya banyak menerima pakai prinsip pentadbiran Islam. Malah ada pemimpin DAP yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin Umno pula semakin menjauhi al-Quran. Justeru kita lihat, pengalaman PAS bersama DAP itu, hasilnya menunjukkan sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim. Inilah beza besar kerjasama PAS dengan DAP dibandingkan kerjasama Umno dengan MCA. Ingin saya bertanya, apa ruginya orang Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Umno sudah buat silap sekian lama dalam mentafsirkan Islam. Lihat sahaja, cara pentadbiran kerajaan Umno yang bercadang menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Apakah cara itu cara yang Islamik dan adakah ia serasi dengan budaya Melayu? Di manakah pula disangkut agenda Melayu yang kononya berteraskan Islam yang diperjuangkan Umno? Ini pendekatan silap Umno sekian lama sehingga menyebabkan pemimpoin MCA terus takut dengan Islam. Akhirnya non muslim terus dirundung Islamofobia.

Hakikatnya, Umno yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden Umno sendiri sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas mencadangkan supaya Umno menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkah prinsip Umno selama ini, politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit Umno sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya sendiri dihentam begitu teruk oleh pemimpin Umno dan media suara Umno dengan menuduh saya berpolitik atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan Umno di Kota Bharu sudah terjual, Umno sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang mukmin melihat jauh ke akhirat, sedangkan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu, pemikirannya berkisar kepentingan sekeluarga. Maka si ibu berfikir, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan sewsi rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, seumpama seorang anak kecil yang berfikir setakat alatan permainannya semata-mata.

Justeru peringatan untuk semua pencinta perjuangan sekular. Dunia belum kiamat, dan ada masa untuk kembali ke pangkal jalan. Firman Allah SWT (Surah Yunus 10:84):

“Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”

Maka seruan saya, kembalilah kepada perjuangan Islam, kerana Islam itu ajaran yang menyelamat dan mensejahterakan seluruh umat di dunia ini.

Sekian.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Kota Bharu: 20 Zulkaedah 1431/28 Oktober 2010
Read More

RESOLUSI IJTIMA' KEPIMPINAN PAS TERENGGANU 2010


Menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada di ambang keruntuhan dalam menghadapi pelbagai masalah luaran dan dalaman, sedang PAS Negeri Terengganu terus melangkah memperkasakan kekuatannya bagi memenuhi harapan besar yang diberikan oleh rakyat bagi membawa perubahan kepada negeri Terengganu.

Berasaskan hakikat ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-14 yang diadakan pada 23hb Oktober 2010, bersamaan 15 Zulkaedah 1431H yang bertemakan “Demi Kedaulatan Islam; Perkasakan Jihad” dengan sebulat suara membuat gagasan dan resolusi bahawa saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat beriltizam untuk:

- Bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13, maka jentera pilihan raya mestilah digerakkan bermula dari sekarang di semua peringkat mengatasi perancangan dan gerak kerja Umno BN dengan memberi tumpuan kepada pengemaskinian urusan pemilih dan keahlian serta penguasaan ke atas pengundi sasaran.

- Meningkatkan kefahaman dan penghayatan petugas-petugas PAS di semua peringkat bagi mengikis penyakit atau budaya negatif seperti futur, isti’jal, ukhuwah yang longgar dan seumpamanya.

- Menegaskan bahawa setiap anggota jemaah sama ada pemimpin, petugas atau ahli parti, hendaklah memperkukuhkan sifat-sifat kualiti peribadi dan meningkatkan keupayaan diri dalam memperkasakan jihad dengan memperkukuhkan wala’, thiqah dan intima’ terhadap pimpinan dan jemaah.

- Merealisasikan agenda PAS mengganti Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

- Menyokong, meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama politik di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui kaedah tahaluf siyasi tanpa menggadai prinsip perjuangan di samping menjadikannya sebagai satu ruang dakwah.

- Menerus sumbangan dan komitmen semua petugas dan kepimpinan yang sedia ada dalam memperkasakan PAS benar-benar sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul.

- Meneruskan proses pembudayaan petugas-petugas PAS dengan gerak kerja berasaskan kepada perancangan yang sistematik dan berstrategi membina keyakinan masyarakat terhadap PAS sebagai kerajaan alternatif ataupun kerajaan menunggu.

- Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan kita bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.
Read More

IJTIMA' KEPIMPINAN PAS NEGERI TERENGGANU 2010

Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2010

Read More

PELBAGAI LAPISAN KUNJUNGI RUMAH TERBUKA


Pelbagai lapisan masyarakat mengunjungi rumah terbuka sempena Eidul Fitri 1431H Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang diadakan di perkarangan Pejabat BPPNT, Taman Seri Intan, dekat sini, Rabu, 29 September.

Setiausaha PAS Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, ribuan pengunjung yang hadir menunjukkan kecenderungan rakyat dan sokongan moral mereka kepada PAS, dalam suasana politik negara yang tidak menentu kini.

Beliau turut menucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan.

"AlhamduliLlah, ramai yang datang ke majlis hari ini, pelbagai lapisan masyarakat, yang lama dan ramai dikalangan orang muda,

"bagi pihak PAS negeri Terengganu, saya mengucapkan terima kasih, JazakumuLlah khairal jaza', kepada sokongan yang berterusan,

"tidak lupa kepada semua ahli dan penyokong PAS yang menyumbang serta staf pejabat perhubungan yang bekerja sehingga rumah terbuka tahun ini dilaksanakan dengan jayanya,"katanya ketika ditemui.

Dalam perkembangan politik semasa, PAS menganggapkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima sebagai takdir dari Qada dan Qadar Allah SWT.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib berkata apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas adalah Qada dan Qadar dari Allah SWT.

Katanya, PAS akan mempertahankan Dun Galas hingga kekal menjadi milik PAS serta mengharapkan dengan kemenangan majoriti yang lebih besar.

“Apa yang berlaku di Dun Galas, kita (PAS) terima sebagai Qada dan Qadar dari Allah SWT. Insya’Allah, kita (PAS) akan sama-sama mempertahankan Dun Galas sehingga kekal menjadi milik PAS dalam pilihan raya kecil akan datang.

“Kita (PAS) harap dapat majoriti yang lebih besar, Insya’Allah. Kita (PAS) belum tentukan calonnya dan terserah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan untuk tentukan kerana mereka (Kelantan) lebih tahu,” jelasnya pada sidang media sempena program Rumah Terbuka PAS

Ketika menjawab persoalan cadangan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) Kelantan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Dun Galas itu PAS mengalu-alukan hasrat tersebut.

“Jika Umno tidak bertanding di Dun Galas, kita (PAS) mengalu-alukanlah kerana Umno sudah tidak berfungsi di Kelantan.

“Saya tidak mengharapkan (cadang tidak tanding) tetapi jika Umno-BN tidak mahu bertanding kita (PAS) mengalu-alukan,” ujarnya.

Menurutnya, PAS sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya tersebut meski pun Umno-BN mahu menguji kekuatan PAS di Kelantan.

Namun begitu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat tidak memandang mudah pilihan raya kecil tersebut kerana Dun Galas pernah menjadi ‘kubu’ kuat Umno-BN sebelum ini.

“Ya, kita (PAS) tahu ini (Galas) kali pertama kita (PAS) menang pada pilihan raya (PRU) 2008. Kali pertama kita (PAS) menang di Dun (Galas) itu. Saya rasa selepas kita (PAS) menang ini perkhidmatan wakil rakyat (Chek Hashim) itu orang (rakyat) boleh kenal.

“Khususnya, wakil rakyat PAS berkhidmat dengan baik di sana (Galas) dan kerajaan negeri Kelantan pun memberi suatu perkhidmatan yang baik. Ini akan menambah yakinkan para pengundi kepada PAS,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh.
Read More

RUMAH TERBUKA PAS NEGERI TERENGGANU


KUALA TERENGGANU - Semua Ahli, Penyokong dan Pendokong PAS serta Pakatan Rakyat di jemput dan dipersilakan hadir ke Rumah Terbuka Sempena Eidul Fitri PAS Terengganu di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS, Taman Seri Intan, dekat sini pada Rabu 20 Syawal, 1431H bersamaan 29 September, 2010

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Majlis Rumah Terbuka tersebut, InsyaAllah akan bermula pada jam 12.30 tengahari dan berakhir pada jam 4.00 petang

"Kita menjemput dan mepersilakan semua ahli, penyokong dan pendokong PAS serta Pakatan Rakyat untuk hadir bersama-sama bagi memeriahkan lagi sambutan sempena Eidul Fitri 1431H,

"InsyaAllah, marilah kira beramai-ramai meneruskan kemenangan yang kita sambut pada hari raya Eidul Fitri yang lalu, dan sekarang tibalah masanya untuk kita terjemahkan pula dalam dalam kerja-kerja kita,

"dan insyaAllah kemenangan pada pilihanraya akan datang,"ujarnya kepada Buletinonline.
Read More

RAKYAT TERENGGANU WAJIB TOLAK PEMIMPIN YG LEMAH DAN JAHAT

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus 'celik' dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.

"Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.

"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali," kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai 'bodoh' dan 'tidak pandai memerintah negeri' manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai 'jahat dan 'tidak tahu adab'.

Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam.

Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam.

"Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.

"Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.

"Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek.

"Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.

"Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini.

"Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat," katanya.
Read More

ILMU ISLAM AKAN HILANG BERSAMA KEMATIAN ULAMA'


Pusat Pengajian Islam Penting Elak Manusia Sesat

HULU TERENGGANU - Peranan alim ulama’ sangat penting dalam mempertahankan Islam dan kehidupan masyarakat Islam di dunia hari ini kerana ilmu-ilmu Islam akan hilang dari dunia, sedikit demi sedikit apabila para alim ulama’ meninggal dunia.

Akhirnya, yang tinggal adalah golongan yang jahil, yang memimpin manusia tanpa cahaya ilmu Islam, yang sesat lagi menyesatkan manusia lain.

Oleh itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib berkata pusat-pusat pengajian Islam amat penting untuk melahirkan ulama' pengganti kepada mereka yang telah 'pergi'

“Ulama’ adalah orang yang penting di atas dunia ini. Kewujudan pusat pengajian yang seperti ini adalah untuk melahirkan para alim ulama’. Alim ulama’ juga tidak kekal duduk di atas dunia ini.

“Bila mereka (ulama’) ini mati dan ‘pergi’ mereka membawa bersama-samanya ilmu. Allah SWT tidak menarik ilmu yang ada pada manusia dengan sewenang-wenangnya atau dengan semudah-mudahnya. Tetapi, ditarik melalui pemergiannya (kematian).

“Sehingga tidak ada yang tinggal melainkan pemimpin-pemimpin yang jahil. Dia (pemimpin) memberi jawapan tanpa ilmu dan mereka itu sesat lagi menyesatkan,” jelasnya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) Kali Ke-8 di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, Sabtu, 18 September.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu membandingkan para alim ulama’ seumpama bintang-bintang di langit yang dijadikan petunjuk serta pedoman kepada manusia.

Menurutnya, manusia menjadikan bintang di langit sebagai petunjuk serta pandu arah pusingan perjalanan sama ada di lautan atau di daratan.

“Kita (PAS) kena berusaha membanyakkan alim ulama’. Bandingan ulama’ di bumi ini seperti bintang-bintang di langit. Ianya (bintang) dijadikan petunjuk dan pedoman, di laut dan di darat.

“Tetapi, apabila bintang-bintang ini tidak bercahaya. Maka, nyaris-nyaris penunjuk jalan ini akan sesat,” ujarnya.

Oleh itu, kata Ustaz Harun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sama ada diperingkat pusat atau negeri-negeri di Terengganu, Kelantan, Kedah dan sebagainya cuba mewujudkan pusat-pusat pendidikan Islam.

Tujuannya, kata beliau adalah bagi melahirkan golongan ulama’ serta memahami Islam dari sumbernya yang asal.

“Jika memahami Islam bukan dari sumber yang asal (Quran dan Hadis) dibimbangi boleh terpesong, boleh ditipu dan diperkotak-katikkan oleh orang lain,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen tersebut seramai 50 graduannya masing-masing menerima sijil serta penghargaan dari Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (Kudqi) yang disempurnakan oleh Dato’ Harun Taib sendiri.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi Kudqi, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Kudqi, Ustaz Mahmood Sulaiman.
Read More

PERUTUSAN EIDULFITRI PRESIDEN PAS


Assalamu'alaikum. Selamat menyambut hari raya Eidilfitri. Hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa Ramadhan.

Menjadi kelaziman, selepas menunaikan ibadah-ibadah yang besar Allah taala mengurniakan hadiah besar. Sembahyang lima waktu dikurniakan Hari Jumaat, Puasa Ramadhan dikurniakan Hari Raya Eidilfitri. Ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban.

Hari raya Eidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiah dengan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, supaya menjadi org-org bertakwa kepada Allah SWT.

Adalah menjadi hikmah yang besar Allah swt memilih bulan Ramadhan berlakunya peristiwa al-Quran diturunkan dan peristiwa peperangan Badar, peristiwa pembukaan Mekah. Diikuti dengan bulan Syawal peristiwa Ahzab.

Menunjukkan bahawa kemuncak takwa yang ditarbiahkan melalui puasa ramadhan orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quranul karim satu-satunya petunjuk yang benar, yang Esa daripada Allah SWT.

Setelah Allah swt menyatakan tujuan ibadat puasa itu supaya kamu bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT juga menegaskan kitab ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Hanya orang-orang bertakwa menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quranul karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Selamat Menyambut Eidul Fitri.

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)
Read More

PERUTUSAN EIDULFITRI PESURUHJAYA PAS TERENGGANU


Bismillahirrahmanirrahim;

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada seluruh petugas-petugas parti, kepada semua ahli-ahli parti dan kepada semua orang-orang Islam, muslimin dan muslimat di seluruh negara.

Saya berdoa supaya Ramadan ini menjadikan saudara-saudara sekalian lebih baik dari Ramadan yang lepas. Dan saudara-saudara menyambut hari raya tahun ini dengan lebih baik, lebih berkat dan lebih ceria,

Insya’Allah. Dan dengan semangat Ramadan dan semangat raya baru ini menambahkan lagi semangat perjuangan yang telah sedia ada pada diri saudara-saudari.

Kepada yang belum menyertai PAS, diharapkan tidak lama lagi akan dapat bersama-sama dengan parti PAS untuk memperjuangkan Islam.

Kepada yang telah bersama-sama saya harap dia dapat mempergigihkan serta memperteguhkan imam, bersabar bersama dengan perjuangan Islam ini sehingga mereka mati syahid atau diberi kemenangan oleh Allah SWT

Dan saya doakan masa depan yang lebih baik kepada saudara-saudara sekalian sama ada keimanan, keceriaan hidup, kemudahan hidup dan lain-lain lagi. Semoga Allah Ta’ala memberi keberkatan kepada saudara-saudara sekalian dari apa yang telah diberi kepada saudara-saudari. Selamat Menyambut Hari Raya Idulfitri.

Ustaz Dato’ Harun Taib
Ketua Dewan Ulama' Merangkap Pesuruhjaya PAS Terengganu
Read More

KERJA POLITIK MENYEMPURNAKAN AL-QURAN SEPENUHNYA


KUALA TERENGGANU - Al-Quran yang diturunkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan mengandungi perintah-perintah Allah yang wajib dilaksanakan oleh manusia.

Dalam masa yang sama, hanya manusia yang bertaqwa sahaja yang menerima al-Quran manakala sebaliknya mereka yang tidak bertaqwa tidak akan menerima al-Quran

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Al-Quran bukan sahaja dibaca tetapi juga menjadi petunjuk kepada manusia, dalam semua urusannya.

Oleh itu, katanya, bagi melaksanakan petunjuk di dalam al-Quran itu, mestilah menunaikan perkara yang wajib iaitu politik kerana semua perintah dalam al-Quran tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan politik.

"al-Quran hanya diterima oleh mereka yang bertaqwa kepada Allah, dalam masa yang sama Allah menjadikan tujuan kuasa adalah untuk bertaqwa kepada Allah,

"Oleh kerana al-Quran bukan hanya dibaca, yang penting menjadi petunjuk kepada manusia dalam semua urusan mereka, bagi melaksanakan petunjuk ini mestilah menunaikan perkara yang wajib iaitu politik,

"kita tidak boleh melaksanakan semua perintah al-Quran, melainkan dengan politik,"katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar bersama para petugas pejabat Perhubungan PAS negeri Terengganu.

Menurutnya nabi Muhammad SAW telah berhijrah ke Madinah untuk menubuhkan sebuah kerajaan bagi tujuan melaksanakan kewajipan politik.

"Setelah ada orang (Madinah) yang mahu menerima (Islam) dan berlakunya hijrah, ditegakkan kerajaan Islam yang diwajibkan itu, barulah Allah menyempurnakan al-Quran,"katanya.

Oleh kerana itu, katanya, umat Islam mestilah faham, kerja politik adalah suatu kerja yang sangat besar dan penting, bagi menyempurnakan ajaran al-Quran itu dilaksanakan sepenuhnya.
Read More

KHUTBAH KHAS EIDUL FITRI 1431 H


Khutbah KHAS Eidul Fitri 1431 H : Tuan Guru Presiden PAS


...Hanya Allah taala yang menentukan pahalanya dan mencapai matlamat puasa dengan menjadi orang-orang yang bertaqwa dengan bukti menegakkan al-Quran menjadi petunjuk seluruh perjalanan hidup kita, dari dunia sehingga hari akhirat...


Khutbah KHAS ini dalam bentuk PDF, Sila KLIK Di Sini.

Khutbah KHAS ini dalam bentuk Word, Sila KLIK
Di Sini.


SALAM EIDUL FITRI

KULLU 'AAM WA ANTUM BIKHAIR

Read More

BERIKAN KEPERCAYAAN PENUH KEPADA PAS


Berikan kepercayaan penuh kepada PAS - Abdul Hadi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga, menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.
Read More

TAK SALAH ORANG BUKAN ISLAM MASUK MASJID


Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," katanya kepada pemberita, sebagaimana dipetik Bernama.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.
Read More

DAP PERLU MEMAHAMI DASAR PERJUANGAN PAS

DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.

PAS juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam, bukannya masyarakat bukan Islam.

“DAP tolak hukum hudud mungkin kerana salah faham kerana tidak memahami secara jelas mengenai pelaksanaannya.

“Sebenarnya hukum hudud ini sudah menjadi kewajiban untuk dilaksanakan dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam.

“Kita harap DAP memahami dasar perjuangan PAS kerana kita selama ini tidak pernah menyentuh dasar DAP ataupun dasar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ada perkara yang kita boleh terima dan kita harap DAP juga begitu dan saya percaya DAP tolak hukum hudud dalam konteks pelaksanaan dalam negara,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, DAP perlu diberikan penerangan mengenai hukum hudud secara jelas supaya mereka memahami maksud sebenar pelaksanaan hukum hudud itu.

“Hukum hudud hanya untuk orang Islam, jadi kalau kita laksanakannya orang bukan Islam tidak akan kena apa-apa tindakan.

“Jadi orang bukan Islam tidak perlu risau mengenainya, jadi saya harap isu ini tidak dijadikan polemik oleh media,” katanya lagi.
Read More

RAMADHAN BULAN TARBIYYAH DAN JIHAD


Ramadhan Bulan Tarbiah, Jihad

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.
Read More

MDQ SAMBUT JUBLI PERAK


Rusila, MARANG - Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila akan menganjurkan Sambutan Jubli Perak MDQ, sempena 25 tahun penubuhannya bermula 5 hingga 7 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ, Dato' Husain Awang (gambar) yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu berkata, majlis perasmian dan penyampaian anugerah-anugerah khas MDQ akan diadakan pada 5 Ogos oleh Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, pada hari itu juga, pelancaran buku ‘Jubli Perak MDQ’ akan turut diadakan sebagai penanda aras kejayaan MDQ melahirkan generasi al-Quran yang unggul, sejak 1985 lagi.

“Sejak beroperasi, kita telah berjaya melahirkan 1,489 pelajar dan pada tahun ini sahaja, seramai 72 orang akan menamatkan pengajian yang setaraf dengan pendidikan menengah atas Sijil Thanawi.

“Setakat ini, kebanyakan pelajar kita berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir, malah ada yang berjaya hingga ke Iran, Yaman, Iraq, Indonesia, Pakistan, United Kingdom dan pelbagai institusi pengajian dalam dan luar negara, tanda pengiktirafan terhadap lulusan MDQ,” katanya.

Menurutnya, sempena sambutan itu juga, jamuan sambil menderma akan diadakan di pekarangan Masjid Rusila pada 6 Ogos ini, bermula jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari, manakala pada sebelah petangnya, akan diadakan Majlis Ihtifal Idul Ilmi di Dewan Besar MDQ.

Pada malamnya akan diadakan Majlis Kesenian Islam manakala pada 7 Ogos pula, seminar pendidikan Islam akan diadakan, diikuti Ijtima’ Alumni pada sebelah petangnya.

Ceramah perdana akan diadakan sebelah malamnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) MDQ dan semua dermawan,” katanya.- SinarHarianOnline
Read More

PENIPUAN UMNO TERHADAP ISLAM


Isu Perpaduan Melayu antara Umno dengan PAS seharuskan tidak timbul lagi kerana PAS telah memutuskan tetap bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Perpaduan Melayu Umno-PAS sebenarnya tidak perlu disebut lagi kerana ia telah diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS tahun lalu serta dianggap selesai.

PAS tetap dengan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dan untuk menyatukan PAS dengan Umno. Umno perlu berubah. Perubahannya ialah mestilah mendasari kepada Islam.

Setakat ini, bukti yang Umno kembali kepada Islam tidak pernah wujud.

Umno terus-menerus melakukan pembohongan serta mempergunakan Islam demi kepentingan politiknya.

Sejak puluhan tahun Umno melakukan penipuan terhadap Islam dengan slogan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ dan ‘Islam Hadhari’.

Pembohongan (Umno) terhadap Islam terus menerus berlaku yang bermula dengan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ menipu rakyat selama lebih 20 tahun.

Diikuti dengan ‘Islam Hadhari’ menipu lebih dari lima tahun dan sekarang ini wujud satu gagasan baru (Satu Malaysia) untuk mengelirukan rakyat.

Sebelum ini, pemimpin Umno semua bertegang leher mengatakan Islam Hadhari itu baik, namun di mana Islam ‘Hadhari’ dan siapa lagi yang bercakap tentang Islam Hadhari kini.

Ia satu bukti yang jelas penipuan Umno terhadap Islam serta cuba mengelirukan rakyat bagi menyekat kemaraan PAS.

Dato’ Husin Awang
Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu
Read More

ULAMA MASUK UMNO, AHLI KITAB PUN TAK BERSAMA ISLAM


Ulama Masuk Umno, Ahli Kitab Pun Tak Bersama Islam

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Tindakan 100 ulama berpendidikan tinggi termasuk mempunyai Phd yang didakwa akan menyertai Umno Jumaat ini bukan sesuatu yang pelik, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu, katannya, ahli kitab juga tidak bersama Islam.

"Tak pelik, zaman Nabi dulu ahli kitab, tak masuk Islam pun. Orientalis, buat pengajian agama Islam, tapi tidak masuk Islam pun," katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu sebenar bukan tahap pendidikan, tetapi persoalan hidayah.

"Masalah ini masalah hidayah, orang buta huruf pun kalau dapat hidayah, akan bersama Islam," katanya lagi.

Jika benar dakwaan laman web Umno berhubung perkara itu, Tuan Guru berkata, ulama tersebut membuat sesuatu yang bercanggah dengan pengajian mereka.

Ulama, jelasnya mesti mempelajari tentang Islam dengan berpandukan al-Quran dan Hadis dan semestinya tahu membuat perbezaan baik buruk.

"Kalau dia mengaji matang, rujuk al-Quran dan Hadis, dia boleh menilai mana parti yang berjuang ikut al-Quran dan Hadis," jelasnya.

Yang lebih penting katanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah melabelkan ulama Umno sebagai penakut kerana menolak debat politik dengan PAS.

"Dr Mahatir dalam ucapannya tahun 1995 ketika himpunan bahagian-bahagian Umno, sebut ulama Umno penakut.

"Mereka tahu mana betul mana salah, tapi kerana mengejar kepentingan dunia," katanya.

Ulama Umno juga, jelas Tuan Guru, menyokong siapa sahaja pemerintah, bukan berdasarkan siapa benar, siapa salah.
Read More

PERJUANGAN TANPA ILMU UMPAMA POHON TIDAK BERBUAH


Perjuangan Tanpa Ilmu Umpama Pohon Tidak Berbuah

MACHANG, 10 Jun - Sidang muktamar Dewan Ulama' PAS Pusat hari ini menerima sebulat suara usul yang dibawa oleh wakil Dewan Ulama' PAS Pusat.

Usul tersebut menekankan agar semua ahli muktamar memastikan dasar dan prinsip perjuangan PAS sentiasa dipertahankan di samping mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, usul ini dikemukakan bagi memastikan dasar aqidah yang dipertahankan akan terus terpelihara.

Beliau mengumpamakan perjuangan yang tidak diasaskan dengan kefahaman umpama pokok yang tidak berbuah, hanya akar sahaja yang menjalar.

Mengakhiri usul tersebut, beliau menyeru sidang muktamar supaya terus mempertahankan prinsip-prinsip ini memandangkan Dewan adalah benteng kepada perjuangan Islam seluruhnya.
Read More

PERWAKILAN DESAK MENTERI SOKONG JUDI LETAK JAWATAN


Perwakilan Desak Menteri Sokong Judi Letak Jawatan

Judi umpama kanser yang membawa kerosakan yang lebih besar kepada masyarakat. Judi bukan sahaja diakui teruk oleh agama Islam, bahkan seluruh agama di dunia mengiktiraf kesan bahaya yang dibawa oleh judi.

Dewan Ulama' PAS Negeri Kelantan dan Melaka mendesak agar PAS hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Malaysia mengeluarkan lesen judi dalam bentuk perjudian bola.

Perwakilan juga mendesak agar menteri yang bertanggungjawab menyokong agenda judi ini agar meletak jawatan di dalam kepimpinan Negara. Di samping itu, beliau juga mendesak kerajaan persekutuan supaya menutup semua pusat perjudian yang wujud di dalam negeri.
Read More

ULAMA' PAS SEPAKAT TINGKAT KUALITI


Ulama PAS Sepakat Tingkat Kualiti

MACHANG, 10 Jun - Perbahasan ucap utama Dewan Ulama yang bersambung pada jam 2 petang tadi menyaksikan kesepakatan pendapat daripada para perwakilan seluruh negara.

Mereka membahaskan peranan yang harus mereka mainkan di dalam PAS. Para perwakilan sepakat meningkatkan kualiti tarbiah, dakwah dan pembinaan pelapis.

Perwakilan daripada Kedah antaranya menegaskan bahawa kepimpinan ulama perlu dikekalkan dalam kepimpinan, sejajar dengan dasar parti yang memperjuangkan akidah Islam.

Manakala cadangan perwakilan daripada Selangor yang menyarankan agar Dewan melahirkan golongan ulama' pelapis turut disokong oleh perwakilan dari Terengganu dan Negeri Sembilan. Antara kaedah yang disarankan oleh perwakilan dari Terengganu adalah melalui institusi pondok.

Sementara wakil dari Kelantan mencadangkan agar Dewan lebih kerap mengadakan program berbentuk muzakarah kelompok bersama non Muslim dan juga parti pakatan bagi menjelaskan tentang dasar perjuangan PAS.

Dalam pada itu wakil dari Dewan Ulama' Johor menyeru Dewan memikirkan cara untuk meningkatkan keahlian Ulama' dalam Dewan. Menjelas pandangan tersebut beliau menyeru agar Dewan juga perlu meningkatkan prestasi sistem keahlian agar lebih tersusun dan bersistematik.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh wakil negeri Sembilan dan Johor adalah dengan menyediakan kad keahlian Ulama bagi setiap kawasan.
Read More

BEZA PAS DENGAN UMNO


Beza antara penyelewengan dalam PAS & UMNO - Ustaz Harub Taib

MACHANG, 10 Jun - Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Tuan Guru Hj Harun Taib menyangkal dakwaan yang mengatakan terdapatnya banyak penyelewengan berlaku di dalam PAS.

“PAS tidak banyak penyelewengan sebagaimana yang berlaku dalam pentadbiran Malaysia,” jelas beliau dalam ucap temanya dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat hari ini.

"Ulama' berperanan memastikan kerjasama PAS di dalam Pakatan Rakyat memberi keadilan kepada semua. Ini sebab, Islam adalah untuk semua. Sekiranya tidak beramal dengan Islam, maka keadilan tidak akan berlaku.”

Beliau menambah, "bagi Dewan Ulama', menjadi cabaran untuk mewujudkan pelapis-pelapis ulamak pada masa akan datang. Pelapis sangat perlu untuk memberi kekuatan kepada penubuhan Pakatan Rakyat nanti", tambah beliau lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa rahsia kekuatan PAS adalah kerjasama di antara golongan profesional dan ulamak sejak dahulu lagi. Gabung jalin yang mantap inilah memperkuatkan PAS, dan kelebihan ini tidak ada dalam parti lain.

Muktamar dewan-dewan Ulama PAS hari ini oleh kawasan-kawasan yang ada dalam seluruh negeri iaitu lima orang bagi setiap kawasan. Sebelum ini, Muktamar ketiga-tiga dewan PAS hanya diwakili 17 orang PAS Negeri.
Read More

ULAMA HARUS LEBIH KOMPETENSI


Ulama Harus Lebih Kompetensi - Ustaz Ahmad Yaakob

MACHANG ,10 Jun - Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Ahmad Yaakob, menekankan agar ulama' perlu teguh serta lengkap dengan thaqafah bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

“Sejak lama dulu ulama berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun cabaran ini tidak melemahkan mereka untuk menyebarkan Islam. Di samping itu ulama' perlu memperkuat diri mereka dengan memahami fahaman-fahaman baru yang merosakkan masyarakat,” kata beliau.

Tambah beliau, “Seperti yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali, beliau bukan sahaja membaca pemikiran Greek dan Yunani, malah beliau berupaya mematahkan pemikiran tersebut dengan hujah yang kukuh dan diterima oleh zamannya.”

Peranan ulama adalah sangat penting untuk memimpin masyarakat. Mereka bertangungjawab memberi inzar memandangkan keadaan masyarakat Islam pada hari ini jauh lebih teruk berbanding masyarakat jahiliah dahulu.

“Dahulu, pemikiran umat dirosakkan oleh akidah muktazilah, khawarij, qadariyyah dan jabariyyah dalam keadaan negara Islam masih utuh dan berkuasa. Sekarang fahaman liberal, sekular, komunis, sosialis dan nasionalis bukan sahaja mempengaruhi pemikiran masyarakat tetapi menjadi anutan utama masyarakat Islam. Kerajaan juga seolah-olah tidak mementingkan hal ini untuk diatasi.”

Mengakhiri ucapan tersebut, beliau menegaskan agar semua ahli dewan membuat persiapan sewajarnya. “Ulama' juga perlu lebih berani mengeluarkan ijtihad bagi menyelesaikan masalah baru yang membelenggu masyarakat”.
Read More