Wednesday, November 3, 2010

LAHIRKAN ULAMA' 'TUKUL BESI'


SETIU: Perwakilan PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mencadangankan agar Dewan Ulama’ PAS Terengganu berusaha dengan semaksima mungkin untuk melahirkan tokoh-tokoh pelapis ulama’ muda.

Katanya, PAS perlu melahirkan seberapa ramai pelapis ulama’ muda yang boleh menguasai ilmu dakwah dan politik.

“Kita di Terengganu tidak kurang pelapis-pelapis ulama’ muda, cuma pelapis-pelapis ulama’ muda ini perlu diberi kedudukan dan suatu tempat yang sepatut dan selayaknya.

“Tempat yang sesuai dengan kelayakan dan kedudukan mereka supaya dapat memberikan input yang besar dalam perjuangan kita ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu 2010 kali ke-14, di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, Setiu, 23 Oktober lalu.

Menurutnya, golongan ulama’ merupakan teras kepimpinan parti yang terus memancu PAS bagi menerajui perubahan.

Selain itu, katanya ulama’ juga perlu membakar semangat serta membangkitkan roh jihad di kalangan pejuang Islam PAS.

“Ulama’ perlu membakar semangat atau membangkitkan semangat jihad seperti yang pernah dilakukan oleh seorang ulama’ di Terengganu suatu ketika dahulu.

“Ustaz Awang Nasaruddin atau dikenali sebagai Ustaz Awang ‘tukul besi’ yang dalam ucapannya selalu membaca ayat-ayat jihad dan perjuangan.

“Jadi ulama’ kena main peranan membakar semangat ahli-ahli supaya cintakan jihad dan perjuangan Islam walau pun terpaksa mengorbankan masa, wang ringgit, darah dan nyawa demi Islam,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengingatkan agar Dewan Ulama’ PAS Terengganu juga tidak menghiraukan masalah remeh-temeh yang ditimbulkan hingga menjejaskan tumpuan parti.

Katanya, masalah remeh-temeh itu diibaratkan ‘kemuncup’ yang tidak memudaratkan tetapi sekadar mengganggu sahaja.

“Kita minta Dewan Ulama’ PAS Terengganu supaya tidak menghiraukan masalah remeh-temeh yang disifatkan ‘kemuncup’ di sepanjang jalan. Ianya tidak memudaratkan tetapi sekadar mengganggu kelancaran parti,” jelasnya.

Seramai 15 perwakilan mengambil bahagian masing-masing membahaskan ucapan dasar presiden parti terdiri dari Dewan Ulama’, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS, wakil-wakil PAS kawasan.

0 comment:

Post a Comment