Tuesday, September 21, 2010

ILMU ISLAM AKAN HILANG BERSAMA KEMATIAN ULAMA'


Pusat Pengajian Islam Penting Elak Manusia Sesat

HULU TERENGGANU - Peranan alim ulama’ sangat penting dalam mempertahankan Islam dan kehidupan masyarakat Islam di dunia hari ini kerana ilmu-ilmu Islam akan hilang dari dunia, sedikit demi sedikit apabila para alim ulama’ meninggal dunia.

Akhirnya, yang tinggal adalah golongan yang jahil, yang memimpin manusia tanpa cahaya ilmu Islam, yang sesat lagi menyesatkan manusia lain.

Oleh itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib berkata pusat-pusat pengajian Islam amat penting untuk melahirkan ulama' pengganti kepada mereka yang telah 'pergi'

“Ulama’ adalah orang yang penting di atas dunia ini. Kewujudan pusat pengajian yang seperti ini adalah untuk melahirkan para alim ulama’. Alim ulama’ juga tidak kekal duduk di atas dunia ini.

“Bila mereka (ulama’) ini mati dan ‘pergi’ mereka membawa bersama-samanya ilmu. Allah SWT tidak menarik ilmu yang ada pada manusia dengan sewenang-wenangnya atau dengan semudah-mudahnya. Tetapi, ditarik melalui pemergiannya (kematian).

“Sehingga tidak ada yang tinggal melainkan pemimpin-pemimpin yang jahil. Dia (pemimpin) memberi jawapan tanpa ilmu dan mereka itu sesat lagi menyesatkan,” jelasnya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) Kali Ke-8 di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, Sabtu, 18 September.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu membandingkan para alim ulama’ seumpama bintang-bintang di langit yang dijadikan petunjuk serta pedoman kepada manusia.

Menurutnya, manusia menjadikan bintang di langit sebagai petunjuk serta pandu arah pusingan perjalanan sama ada di lautan atau di daratan.

“Kita (PAS) kena berusaha membanyakkan alim ulama’. Bandingan ulama’ di bumi ini seperti bintang-bintang di langit. Ianya (bintang) dijadikan petunjuk dan pedoman, di laut dan di darat.

“Tetapi, apabila bintang-bintang ini tidak bercahaya. Maka, nyaris-nyaris penunjuk jalan ini akan sesat,” ujarnya.

Oleh itu, kata Ustaz Harun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sama ada diperingkat pusat atau negeri-negeri di Terengganu, Kelantan, Kedah dan sebagainya cuba mewujudkan pusat-pusat pendidikan Islam.

Tujuannya, kata beliau adalah bagi melahirkan golongan ulama’ serta memahami Islam dari sumbernya yang asal.

“Jika memahami Islam bukan dari sumber yang asal (Quran dan Hadis) dibimbangi boleh terpesong, boleh ditipu dan diperkotak-katikkan oleh orang lain,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen tersebut seramai 50 graduannya masing-masing menerima sijil serta penghargaan dari Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (Kudqi) yang disempurnakan oleh Dato’ Harun Taib sendiri.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi Kudqi, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Kudqi, Ustaz Mahmood Sulaiman.

0 comment:

Post a Comment