Wednesday, August 25, 2010

DAP PERLU MEMAHAMI DASAR PERJUANGAN PAS

DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.

PAS juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam, bukannya masyarakat bukan Islam.

“DAP tolak hukum hudud mungkin kerana salah faham kerana tidak memahami secara jelas mengenai pelaksanaannya.

“Sebenarnya hukum hudud ini sudah menjadi kewajiban untuk dilaksanakan dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam.

“Kita harap DAP memahami dasar perjuangan PAS kerana kita selama ini tidak pernah menyentuh dasar DAP ataupun dasar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ada perkara yang kita boleh terima dan kita harap DAP juga begitu dan saya percaya DAP tolak hukum hudud dalam konteks pelaksanaan dalam negara,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, DAP perlu diberikan penerangan mengenai hukum hudud secara jelas supaya mereka memahami maksud sebenar pelaksanaan hukum hudud itu.

“Hukum hudud hanya untuk orang Islam, jadi kalau kita laksanakannya orang bukan Islam tidak akan kena apa-apa tindakan.

“Jadi orang bukan Islam tidak perlu risau mengenainya, jadi saya harap isu ini tidak dijadikan polemik oleh media,” katanya lagi.

0 comment:

Post a Comment