Thursday, October 29, 2009

PERUMPAMAAN HATI DALAM MENERIMA PETUNJUK


Rasulullah SAW bersabda;

عَنْ أَبِى بُرْدَةَ عَنْ أَبِى مُوسَى عَنْ النَّبِى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِى اللهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِى قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً وَلاَ تُنْبِتُ كَلأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِى دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِى الله بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى الله الَّذِى أُرْسِلْتُ بِهِ


Maksudnya : Dari ِAbu Burdah dari Abu Musa dari Nabi SAW sabdanya: “ Bandingan apa yang Allah SWT utuskan aku membawanya dari hidayah pertunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak, dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air ( tidak menyedutnya ) maka Allah SWT menjadikan dia manfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam ( dan menjirus tanaman mereka ), dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, keadaannya hanyalah tanah rata yang keras dan tidak lekat air ( sedikitpun ) dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah bandingan orang yang mempunyai kefahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah SWT, dan bandingan orang yang beroleh manfaat dari apa yang Allah SWT utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain, dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung ( ilmu yang aku sampaikan ) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah SWT yang aku diutuskan membawanya. ( Riwayat Bukhari )

Tujuan utama Nabi Muhamad SAW diutuskan oleh Allah SWT ialah bagi mengeluarkan manusia daripada beribadat dan tunduk kepada sesama manusia kepada pengabdian diri secara tulus kepada Allah SWT, Tuhan pencipta alam ini. Namun begitu apa sahaja yang dibawa oleh baginda SAW tidak semuanya diterima oleh manusia. Bahkan ramai di antara mereka yang menolak dan ada yang menentangnya. Dalam hadis di atas baginda SAW telah membuat perumpamaan tentang ilmu dan ajaran yang dibawanya dengan sikap hati manusia terhadap penerimaan ajaran tersebut.

Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air hujan. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya subur apabila ditimpa hujan. Lalu ianya menyedut air itu dan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman yang bermanfaat kepada manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Demikian juga hati manusia, ada di antara mereka yang menerima ilmu dan pertunjuk daripada Allah SWT serta menghafaz ilmu tersebut dan ianya memberi kesan kepada jiwa mereka sendiri. Kesan dari penerimaan ilmu itu telah mengubah sikap dan keperibadian mereka untuk beramal dan memperjuangkan ajaran Islam. Bukan sahaja ilmu tersebut dapat membentuk jiwa dan keperibadian mereka malah mereka juga menyebarkan ilmu tersebut supaya dinikmati oleh orang lain. Ini adalah sebaik-baik hati dan berhak mendapat kepujian Allah SWT.

Jenis yang kedua ialah bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung air tersebut serta tidak disedutnya ke dalam tanah dan membentuk sungai, alur, tasik dan sebagainya. Air tersebut dapat digunakan oleh manusia untuk pelbagai manfaat. Antaranya menjadi air minuman kepada manusia, haiwan ternak dan juga menyiram tanaman. Namun begitu tanah tersebut tidak mendapat manfaat pada dirinya sendiri. Demikian juga hati dan penerimaan ilmu kepada manusia. Ada manusia yang mempunyai ilmu, dengan ilmu tersebut mereka dapat memberi manfaat kepada orang lain dengan mengajar dan memberi ilmu, tetapi dirinya sendiri dilupakan. Dia sendiri tidak mendapat faedah dari ilmu tersebut. Mereka sibuk menyampaikan ilmu dan pengajaran tetapi dia sendiri tidak beramal dengan ilmunya. Sedangkan tujuan ilmu ialah untuk beramal dan mendapat keredhaan Allah SWT dengan amalan yang baik. Allah SWT menempelak golongan ini sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah SWT, tidakkah kamu berakal? ( Al Baqarah: 44 )

Golongan yang ketiga ialah seumpama bumi yang tanahnya gersang dan keras. Keadaanya tidak dapat menampung air malah air tersebut tidak meresap ke dalamnya, apatah lagi untuk menumbuhkan sebarang tanaman. Hujan yang turun menimpanya tidak memberi sedikit manfaat untuk dirinya. Keadaanya terus kering dan mati. Ini adalah hati manusia yang tidak dapat menerima sebarang ilmu pengetahuan dan tidak dapat beramal ibadat atas dunia ini. Hatinya keras dan tertutup kepada cahaya ilmu. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruk perangai. Bagi mereka dunia ini hanya tempat untuk memuaskan hawa nafsu, mengejar dunia dan kebendaan tanpa memikirkan halal dan haramnya. Hatinya mati dan tertutup untuk cahaya ilmu yang berguna. Mereka ibarat bagaikan binatang ternakan, bahkan lebih hina daripada binatang tersebut. Allah SWT amat murka kepada mereka dan akan diletakkan di dalam neraka bagi menerima azabNya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang dilupakan. ( al A’raf : 179 )

Demikianlah perumpamaan hati dengan ilmu pengentahuan yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW. Baginda SAW mengesa umatnya supaya menjaga hati agar ianya sentiasa hidup dan berfungsi untuk membawa kesejahteraan kepada hidup manusia. Manusia tidak seharusnya menjaga keperluan tubuh badan semata-mata dengan hanya mengambil berat soal kesihatan tubuh badan, namun yang lebih penting ialah kesihatan rohani dan hati nurani. Peranan hati dalam kehidupan seseorang manusia amat penting. Ianya sebagai pemandu yang menentukan perjalanan hidup seseorang. Sabda Rasulullah SAW.

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِى الْقَلْبُ.

Maksudnya : “ Ketahuilah sesungguhnya pada tubuh itu ada seketul daging. Apabila baik daging tersebut maka baiklah seluruh jasad, dan apabila buruknya daging tersebut maka buruklah seluruh jasad tersebut. Ketahuilah bahawa itu ialah hati. ” Hadis riwayat : Bukhari.

Oleh kerana pentingnya peranan hati dalam kehidupan, maka seseorang manusia perlu berusaha agar hatinya sentiasa hidup. Perbanyakkan amalan-amalan sunat seperti sembahyang, puasa, bersedekah serta perkara-perkara kebajikan. Di samping itu jangan lupa untuk berdoa kepada Allah agar diperteguhkan hati dan pendirian dengan Islam sebagaimana doa yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW ;

"اَللهُّمَ يَا مُقَلِّبَ اْلقُلُوْبَ ثَبِّتْ قَلْبِىْ عَلَىْ دِيْنِكَ وَطَاعَتِكَ "

Ya Allah! Tuhan yang membalikkan hati, perteguhkanlah hatiku atas agama Mu dan ketaatan kepada Mu.

0 comment:

Post a Comment