IBADAT PUASA MEMBENTUK INSAN BERTAQWA



Terdapat pelbagai hikmah yang boleh diperoleh melalui ibadat puasa. Di antaranya ialah, ia dapat melahirkan sifat bertakwa dalam hati orang yang berpuasa. Ia merupakan satu sifat yang lahir dalam hati naluri dan dengannya manusia akan menjadi takut dan menurut segala perintah yang diamanahkan serta menjauhi apa yang di larang oleh-Nya.

Firman Allah taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Ia juga merupakan satu ukuran Allah S.W.T untuk menilai perilaku manusia tanpa membezakan warna kulit, pangkat, darjat dan taraf makhluk tersebut di atas muka bumi ini. Terdapat juga perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T ketika berpuasa. Ia adalah bertujuan melahirkan dan menjana generasi yang unggul dalam pembentukan saksyiah diri yang terpelihara daripada pelbagai godaan nafsu zahir dan batin.

Firman Allah taala yang bermaksud: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Firman Allah taala yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Perkara yang paling penting di dalam bulan puasa ini ialah sejarah penurunan al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang zaman.

Firman Allah taala yang bermaksud: “ Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”(Surah al-Baqarah, ayat 1-2).

Jangan hanya kita tahu berpuasa secara menahan lapar dan dahaga sahaja tanpa ada rasa pentarbiyahan daripada Allah S.W.T yang kita rasa dan menjadikan al-Quran hanya hiasan semata-mata tanpa mengambil apa yang terkandung dan yang tersirat melalui penurunannya.

Firman Allah taala yang bermaksud: “Wahai manusia sesungguhnya kami telah mencipta kamu daripda lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk saling kenal mengenali antara satu dengan yang lain.Sesungguhnya yang paling mulia dikalangan kamu disisi Allah ialah yang paling bertakwa kepada Allah.Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya.”(Surah al-Hujurat, ayat 13).

Firman Allah taala yang bermaksud: “Allah berjanji kapada orang beriman dan beramal soleh dikalangan kamu, bahawa Dia (Allah) akan menjadikan mereka itu orang-orang yang memerintah bumi, sebagaimana Allah telah mengurniakan kepada umat yang terdahulu. Allah akan menjadikan agama yang Dia redha berkuasa memerintah, Allah menukarkan daripada ketakutan daripada keamanan. Mereka mengabdi kepada Ku (Allah) dan mereka tidak menyekutukan Ku (Allah) dengan sesuatu. Dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasik.”(Surah al-Nur, ayat 55)
Read More

RAMADHAN BULAN PERJUANGAN


Ibadat puasa melatih diri kita untuk membentuk diri. Pada bulan yang mulia ini kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa kemenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam terdahulu di bulan Ramadhan seperti dalam peperangan Badar, ketika pembukaan Makkah, kemenangan di ‘Ain Jalut mengalahkan bangsa Tartar yang ganas dan lain-lain.

Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat tahun kedua hijrah. Ketika umat Islam baru menerima kewajipan berpuasa. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar bersama sahabatnya di dalam pasukan yang kecil berjumlah seramai 313 orang dengan sedikit kelengkapan dan persediaan, tiba-tiba mereka terserempak dengan bala tentera musyrikin Makkah yang berjumlah seramai 1000 orang.

Kaum musyrikin yang lengkap bersenjata keluar dengan semangat yang berkobar-kobar adalah berasala daripada satu bangsa, satu negeri, daripada dua tanah suci orang Islam tetapi mempunyai matlamat yang berbeza. Satu bangsa tetapi berbeza akidah, perjuangan dan matlamat hidup. Satu puak orang –orang Islam dan satu puak lagi orang-orang kafir.

Sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah s.a.w. telah bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dengan hati yang khusyuk:

اللَّهُمَّ! إنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ

Ertinya :
“ Wahai Tuhanku! jika sekiranya pasukan kecil ini kalah nescaya engkau tidak lagi disembah.” (Muslim).

Rasulullah tidak menyebut: kalau kami kalah maka anak isteri kami akan menjadi tawanan, kami akan dibunuh, harta kami akan dirampas dan tanah air kami akan dijajah.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin dari Makkah yang berdoa:

اللهم أينا كان أقطع للرحم، وأتانا بما لا نعرف فاحنه الغداة

Ertinya:
“Wahai Tuhanku! Inilah dia orang yang memutuskan silaturahim (memecah belah anak beranak) dan membawa ajaran sesat, maka binasakanlah dia di pagi ini.” (al-Hakim)

Abu Jahal mempertahankan kesesatan dengan berlindung di sebalik silaturahim dan menuduh Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman itu sesat. Dia lupa kepada permasalahan utama dalam kehidupan manusia iaitu mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, di samping menolak syirik kepada-Nnya, dan cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah SWT .

Lihatlah keyakinan tentera Islam bersama Nabi. Apabila Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Makkah atau menghadapi musuh yang lebih besar ini, tiba-tiba seorang daripada mereka bernamaal-Miqdad ibn al-Aswad menjawab dengan penuh kesedaran:

يا رسول الله لا نقول كما قالت بنو إسرائيل لموسى اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ههنا قاعدون ولكنا نقول اذهب أنت وربك فقاتلا انا معكما من المقاتلين

“Wahai Rasulullah! Kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kaum Bani Israel yang berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama Tuhan kamu berperang, kami mahu duduk di sini sahaja. Tetapi kami berkata kepadamu : Wahai Rasulullah! Pergilah berjuang wahai Rasulullah bersama Tuhanmu! Kami juga bersama dengan Allah dan Rasul pergi berperang”.

Itulah ucapan umat Muhammad yang berbeza dengan umat yang lain. Kaum bani Israel pernah dikurniakan nabi-nabi yang mempunyai mukjizat luar biasa seperti tongkat menjadi ular dan terbelah laut merah menjadi lorong-lorong yang dilalui oleh Bani Israel dan Firaun ditinggalkan di hadapan mata mereka. Tetapi apabila Allah menguji mereka supaya berjihad mengikut Nabi Musa masuk ke Palestin bagi membebaskan Palestin daripada kaum jabarin, tiba-tiba Bani Israel menolak dan Allah menyesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun.

Mereka hanya patuh kepada Nabi Musa apabila melihat mukjizat di depan mata kasar mereka. Janji kemenangan secara mulut oleh Nabi Musa tidak mereka yakini.

Adapun umat Muhammad seperti tentera Islam di dalam peperangan Badar, mereka hanya membaca mukjizat Al-Quran al-Karim yang diturunkan di bulan Ramadhan yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Mereka beriman dengan kitab yang dibaca daripada Allah dan yakin kepada Nabi Muhammad yang menjadi pemandu dan petunjuk jalan. Akhirnya mereka dikurniakan kemenangan yang diabadikan di dalam Al-quran al- karim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran, ayat 123).

Adapun peristiwa pembukaan Makkah yang berlaku juga di dalam bulan Ramadhan , Rasulullah mengarahkan bala tentera menawan Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang juga mertua Baginda dan dari kalangan kaum kerabat Rasulullah sendiri.

Abu Sufyan telah membatalkan perjanjian Hudaibiah. Peristiwa ini membuka ruang bagi orang-orang yang beriman untuk menawan Makkah. Maka berlaku penawanan Makakh tanpa pertempuran, apabila penduduk Makakh menyerah diri kepada Allah dan Rasul-Nya dan menjadi orang-orang yang beriman secara beramai-ramai. Firman-Nya bermaksud:

“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1 – 3).

Ingatlah makna “fatah” Mekah yang berlaku di bulan Ramadhan . Adapun peristiwa Ain Jalut apabila tentera Tartar yang keluar dari Asia Tengah mara dengan bala tentera yang gagah berani dan ganas sehingga mereka menawan Baghdad yang menjadi pusat kerajaan Abbasiyah dan pusat pemerintahan Islam. Dikatakan mereka membunuh 4 juta manusia. Baghdad menjadi kolam darah. Kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dibakar hangus dan dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dijlah, tetapi Allah memelihara ilmu Islam.

Golongan Tartar telah memaksa umat Islam dengan merangka perlembagaan yang bernama Yasak yang diambil daripada fahaman Islam, Yahudi dan Kristian serta akal fikiran sendiri. Islam diambil untuk menipu umat Islam pada masa itu. Umat Islam dipaksa menerima ajaran Yasak itu. Kalau ingkar akan dibunuh. Tentera Tatar mara ke hadapan untuk menakluk Shams dan Mesir. Apabila mereka sampai ke Palestin di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam telah mendapat satu keramat. Dengan slogan ‘wa islamah’ (wahai Islam tersayang. Ayuh selamatkan Islam). Dengan slogan ini mereka bangkit menentang kaum Tatar yang dikatakan pada masa itu mustahil dapat dikalahkan. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam di Ain Jalut pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini dengan menyedari bahawa umat Islam pada hari ini sedang dijajah dan ada tanah air mereka yang belum dibebaskan sehingga kini. Umat Islam hari ini dizalimi dan dibunuh di mana-mana sahaja seperti di Iraq, Thailand, Filipina, Palestin, Chechenya, dan sebagainya. Di dalam masa yang sama, pemikiran umat Islam turut dijajah oleh undang-undang perlembagaan yang sama seperti Yasak.

Sesungguhnya kita tidak mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak menjulang tinggi Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Umar r.a :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، ومهما ابتغينا العز بغير الإسلام، أذلنا الله

Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan Islam, pasti Allah SWT akan menghina kita.

Hari umat ini umat Islam mencari kemuliaan dengan wang, kemewahan, harta benda dan pangkat. Tetapi mereka tidak menggunakan nikmat itu untuk meninggikan agama Allah. Mereka menjadikan kebendaan itu sebagai matlamat hidup mereka. Oleh sebab itu mereka menjadi hina dan mendapat kehinaan daripada Allah SWT.
Read More