PAS SEDIA DIALOG DGN UMNO ISU ISLAM, RAKYAT
Presiden PAS berkata, pihaknya sudah menghadiri dialog di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang merupakan salah satu badan di bawah kerajaan dan ramai pemimpin Umno yang hadir dan wakil mereka ada di dalam dialog berkenaan.
“Dan kita telah memberi pandangan kita berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini.
"Kita sudah lama terbuka dengan semua termasuk dengan Umno. Kita juga sudah bersedia untuk berdialog bukan sahaja isu kalimah Allah tapi semua isu melibatkan ekonomi, sosial, kebajikan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di majlis taklimat khas Presiden PAS berhubung isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam di Anjung Rahmat, di sini, hari ini.
Sementara itu di KOTA BHARU, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjelaskan tujuan muzakarah yang dicadangnya dengan pemimpin Umno hanya untuk mengetahui kenapa parti itu menolak dasar perjuangan Islam.
Menurutnya lagi, pada masa yang sama ingin mendapat penjelasan kenapa parti itu juga melawan perjuangan PAS yang ingin menegakkan Islam.
Sedangkan, tambahnya amat tidak wajar parti itu menentang perjuangan PAS memandangkan ianya diperjuangkan oleh orang Melayu yang menegakkan Islam.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Sahabat Cyber Sayang Kelantan (Saing) dan pelancaran Facebook Tok Guru sempena majlis Hi-Tea Kelantan Facebookers Ghatering di Perdana Resort petang ini.
Menurutnya, Umno juga perlu menjelaskan kenapa parti itu tidak mahu bersama dengan dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS kepada umum.
“Itu saja cadangan saya untuk bermuzakarah, tidak ada perkara lain, Umno kena jelas kenapa partinya menolak perjuangan Islam, yang lain tu biar dulu,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau melahirkan rasa syukur kerana Umno Kelantan menyambut baik saranannya itu.
Bagaimanapun, menurutnya, bukan sahaja Umno Kelantan yang harus bersetuju, yang penting sekali dalam soal ini Umno di peringkat pusat.
Tambahnya, apa yang ingin dimuzakarah ialah soal agama, bukannya teori, falsafah atau sebagainya.
Menjawab tuduhan Umno yang mendakwa cadangan muzakarah itu dibimbangi beliau tidak konsisten sebagaimana pertemuan sebelum ini yang dikatakan batal, beliau menafikan perkara itu.
“Bila tidak jadi? Siapa yang batal pertemuan? Saya nak jumpa dengan orang, tetapi orang tak mari (datang) nak jumpa macam mana,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Tegasnya, hasrat untuk mengadakan muzakarah itu setakat ini hanya melalui cadangan.
“Lepas ni kita akan teruskan dengan usaha lain pulak melalui tulis surat ke, facebook ke, pandailah kita buatnya,” ujarnya lagi.
Tambahnya, cadangan itu telahpun dikemukakan melalui surat kira-kira tiga bulan lalu untuk mengadakan pertemuan bagi mengadakan muzakarah tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya sehingga kini belum ada jawapan berhubung perkara itu.
Beliau mempersoalkan tentang imbuhan kepada qari dan qariah di peringkat antarabangsa sebanyak RM2,000 sebulan.
“Nak bagi tu baguslah, tetapi apa tujuan pertandingan bacaan quran itu dibuat, saja untuk dilagukan atau untuk diambil manfaat hasil dari bacaan,” ujarnya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24791:pas-sedia-dialog-dengan-umno-isu-islam-rakyat&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=125
0 comment:
Post a Comment