JELASKAN JAWATANKUASA ANTARA AGAMA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama yang kini menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat negara ini. PAS melihat bahawa wujudnya keperluan untuk kerajaan memberikan penerangan berhubung kewajaran penubuhan jawatankuasa ini dan juga membuka ruang kepada rakyat untuk memberikan pandangan.

Dalam hal, ini menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar jawatankuasa ini termasuklah garis panduan, bidang tugas dan kuasanya, kekerapan mereka perlu bermesyuarat, serta kepada siapa mereka bertanggungjawab memberikan laporan atau menyampaikan pandangan.

Rakyat juga mahu tahu bagaimana pemilihan keahlian jawatankuasa ini dipilih, tempoh perkhidmatan dan apakah sebabnya wakil Ulama' dari Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dijemput sama.

Baru-baru ini, bekas anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Isahak yang dilantik mengetuai Jawatankuasa itu memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan.

PAS melihat isu-isu yang bakal disentuh ini amat sensitif. Mahu tidak mahu, ia akan membabitkan perbahasan mengenai perlembagaan. Maka ada juga keperluan bagi meletakan wakil dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia.

Walaubagaimana pun PAS menolak sebarang usaha untuk mempengaruhi pindaan perlembagaan atau dasar-dasar Kerajaan yang boleh menjejaskan kedudukan Islam serta hubungan antara agama dinegara ini.

Oleh itu bagi mengelakkan lebih banyak persepsi dihamburkan kalangan rakyat, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan penjelasan segera melalui wakil-wakil organisasi Kerajaan lainnya, kumpulan masyarakat, NGO, media dan parti politikn sebelum jawatankuasa ini dibenarkan memainkan peranannya.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Read More

MEB GAGAL TANPA MODAL INSAN ISLAM


KUALA TERENGGANU – Walau sebaik mana sekali pun rancangan diatur dan dilaksanakan, ia tetap akan gagal sekiranya tidak dipacu oleh modal insan yang cemerlang.

Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak akan gagal sebagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana menghadapi masalah pelaksana.

”Masalahnya adalah masalah pelaksana, pelaksana inilah yang berkait dengan modal insan,

”dalam kita membina modal insan kita mestilah melihat kepada komponen-komponen yang asasi kepada naluri dan fitrah manusia,”saran Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata demikian ketika membahaskan titah perasmian Tengku Seri Panglima Raja dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam, 7 April.

Menurutnya, Allah menjadikan manusia mempunyai jasad, ruh, individu, masyarakat, bahan-bahan yang digunakan, kewajipan terhadap hak-hak Allah dan khilafah iaitu memakmurkan muka bumi dengan peraturan dan kebijaksanaan yang diturunkan olehNya.

Katanya, komponen tersebut merupakan mata rantai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dalam membangunkan modal insan.

”Kita bercakap tentang Ulul-albab, kita bercakap tentang ‘khaira ummah’ sebaik-baik umat, bercakap tentang ‘ummatan wasata’, umat yang pertengahan,


“tetapi kita tidak menyentuh mata-mata rantai yang merupakan komponen bagi membentuk Ulul-albab, penekanan yang utama ialah aqidah,”jelasnya.

Bagi orang Islam, beliau berkata, aqidah adalah mengikhlaskan diri kepada Allah SWT dan menolak ‘toghut’ iaitu setiap yang melampaui batas, bukan sahaja dalam aspek ibadah, bahkan dalam cara hidup.

Katanya, undang-undang dan peraturan yang melampaui batas akan menjadikan manusia turut melampau batas dan tidak seimbang diantara rohani dan jasad.

Sebagai contoh, berlaku ketidakseimbangan tersebut, kata beliau, adalah jawapan bertulis yang diberikan kerajaan tentang kewujudan pusat snooker dan karaoke di negeri ini, di mana, menurutnya, undang-undang dan peraturan sedia ada membenarkan sebanyak 70 buah pusat tersebut beroperasi.

”Manusia tidak boleh mengawal hawa nafsu, sebagai contohnya saya lihat di sini terdapat ketidakseimbangan,

”Bukannya kita tidak boleh berhibur, boleh berhibur, tetapi sejauh mana batas-batas sempadan dalam hiburan ini,

”saya tidak nampak batas-batas sempadan ini berlaku dengan cara yang teguh dan kuat,”tegasnya.

Dengan itu, katanya, adalah perlu batas-batas sempadan yang dapat mengawal aspek-aspek negatif dari hiburan ini, kerana ia adalah perkara yang sangat penting.

Justeru, beliau berkata, adalah baik bagi kerajaan negeri, jika dilaksanakan undang-undang berdasarkan syari’at Islam yang telah diluluskan oleh DUN dan telah ditandatangani oleh tuanku Sultan serta telah digazetkan.

”Kami telah meluluskan undang-undang berdasarkan syari’at Islam dalam (pada) penggal yang lalu, kerajaan tidak menolak, terus menerima, dan Tuanku (Sultan) telah ‘sign’ (tandatangan) dan (telah) digazetkan,

”alangkah baiknya, perkara ini dilaksanakan dan kami bersedia untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya,”katanya.
Read More

RUNTUH ! ANTARA BALASAN ALLAH


Tepoh, KUALA NERUS – PAS menggesa pihak terbabit menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh keatas kejadian bangunan Institut Oseanografi & Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang runtuh semalam 29 Mac.

Timbalan Ketua Dewan Ulama' PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika ditemui semalam.

”Kita (PAS) minta pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan secara terperinci, (mengenalpasti) punca menyebabkan keruntuhan (yang) berlaku,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan, kejadian demi kejadian bangunan runtuh yang semakin banyak berlaku dinegeri ini adalah ‘satu pembalasan’ akibat perbuatan zalim kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

”Kalau kita lihat, selepas daripada perobohan Masjid Bujal oleh kerajaan Barisan Nasional, jadi, tragedy keruntuhan bangunan-bangunan sentiasa berlaku, mungkin ini satu pembalasan daripada Allah SWT,” jelasnya

Katanya, perkara tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada pihak berkuasa supaya kerajaan berhati-hati mengambil tindakan dalam soal yang melibatkan kepentingan agama dan orang ramai.

Oleh itu, katanya, peristiwa runtuhnya lantai tingkat empat bangunan INOS-AKUATROP di UMT adalah rentetan daripada peristiwa-peristiwa runtuh yang berlaku sebelum ini.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan, dengan kejadian ‘runtuh’ terbaru yang berlaku, kerajaan dapat membuat siasatan dan mengambil langkah pencegahan, supaya ianya tidak berulang.

Mengulas lanjut tragedi yang berlaku di UMT, beliau berpendapat tidak munasabah bangunan empat tingkat yang tinggi, tidak bertiang, menggunakan perancah (scaffolding) untuk membuat konkrit lantai.

Bagaimanapun, beliau berkata ianya perlu disiasat, termasuk kenyataan Menteri Besar yang menyatakan kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian pekerja terbabit.

”Tengok dari gambar itu, bangunan itu, saya tak nampak ada ‘staging’ (perancah), saya pun kurang pasti, kalau ‘staging’ kalau tinggi (empat tingkat) begitu tidak munasabah,

”Sekarang ni, perlulah dibuat siasatan supaya punca yang tepat, samada ‘staging’ itu patah atau pun tidak, perlu kepada siasatan yang tepat dan telus,” tegasnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.15 petang semalam, pihak bomba, badan penyelamat merasakan ia berlaku kerana ketidakupayaan perancah menyokong struktur, lalu lantai tingkat empat yang sedang di konkrit runtuh.

Seramai lima orang pekerja warga Bangladesh terlibat dengan kejadian yang meragut salah seorang daripada mereka, manakala yang lain masih dirawat di hospital.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan, kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian para pekerja terbabit.
Read More

KENYATAAN RASMI MURSYIDUL AM PAS


KENYATAAN RASMI

YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN
PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL AM PAS


• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik) dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010
Read More

HIMPUNAN 10 RIBU RAKYAT


Bulan ini, Mac 2010 genaplah 10 tahun Terengganu telah dinafikan hak royalti oleh Kerajaan Pusat. Dalam tempoh 10 tahun ini pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak bagi memastikan royalti dapat dikembalikan ke pangkuan Kerajaan Negeri.

MAMPAT khususnya, dan kini bersama GEGAR telah menjadikan isu royalti sebagai suatu agenda khusus dalam perjuangan kami. Kami bertegas mengatakan bahawa Royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada fakta dan sejarah, dan mesti diserahkan melalui saluran yang betul iaitu Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi berpelembagaan. Kami juga menegaskan bahawa Royalti adalah Royalti dan tidak menerima sama sekali apa yang dinamakan Wang Ehsan, Dana Persekutuan dan sebagainya.

InsyaAllah, seperti dimaklumkan sebelum ini MAMPAT dan GEGAR akan mengadakan suatu Dialog Rakyat berkenaan isu royalti yang melibatkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac ini di TER, Kuala Ibai. Majlis bermula dengan Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah selepas solat Isyak.

Sehubungan itu satu persembahan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti akan menyusul pada 20 Mac ini, Sabtu dengan mengambil peluang keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ke Terengganu. Tuanku dijangkakan tiba pada jam 11.45 pagi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

GEGAR akan mempersembahkan dua Memorandum yang akan mewakili NGO dari Kelantan dan Terengganu. Setakat ini, sebanyak 70 NGO telah menyatakan persetujuan bersama dengan GEGAR dalam isu tuntutan Royalti. Kami masih berusaha bagi menambah bilangan NGO tersebut.

Bagi menjayakan program yang bersejarah ini, semua rakyat dijemput untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti ini. Semua diminta berkumpul pada jam 11 pagi bagi memudahkan perjalanan program.

GEGAR menjangkakan dapat mengumpul sekitar 10 000 rakyat untuk program sambutan ini.

Sekretariat MAMPAT & GEGAR
Read More

KELUAR PARTI "BUANG BURUK"


KUALA TERENGGANU – Proses peralihan kerajaan sebagaimana sasaran Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas, walaupun terpaksa berhadapan dengan isu tindakan keluar parti beberapa wakil rakyat melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak belakangan ini.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, mereka yang terbabit keluar parti ibarat ‘buang buruk’ yang tidak memberi sebarang kekurangan kepada pembangkang.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, kebiasaan pemimpin pembangkang yang keluar parti tidak disertai penyokongnya sebagaimana berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi yakin perkembangan itu tidak akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengambil alih kerajaan.

“Inilah yang memberi kelebihan dan keistimewaan kepada kita apabila pemimpin keluar parti, penyokong tidak ikut serta. Istilah yang sesuai adalah ‘buang buruk’ kerana yang keluar parti hanya individu tertentu sahaja.

“Sebaliknya, apabila pemimpin BN keluar parti, ramai yang akan ikut serta sebagaimana berlaku terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menjejaskan UMNO sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan terbaru Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang mengumumkan keluar parti kelmarin dan menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta.

Dalam masa sama, Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim tetap dengan jangkaannya sebelum ini bahawa lebih 10 wakil rakyat akan keluar daripada parti tersebut.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat melihat pemimpin yang keluar parti tidak akan ke mana dalam bidang politik.

Sebaliknya kata beliau, pemimpin itu akan dipandang negatif kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dalam parti dan dianggap tidak tetap pendirian.
Read More

FAHAM DAN HAYATI AJARAN RASULULLAH SAW


- Bukan Hanya Menyambut MaudirRasul dengan cogankata dan lambang

Rhu Rendang, MARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi SAW dengan menghayati ajaranNya yang sebenar.
Katanya, tidak wajar umat Islam menyambut kelahiran Nabi Muhamad SAW sekadar dengan cogankata atau lambang-lambang kemegahannya.

“:Marilah kita (umat Islam) mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhamad SAW dan kerasulanNya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini.

“Bukan hanya sekadar mengagungkan cogankata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajaranNya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, 26 Februari lalu.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang Rasul yang paling hebat di kalangan Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan ‘cahaya’ (Islam) Allah Ta’ala itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang-surut.

Tetapi, kata beliau agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.

“Kejayaan yang dicapai oleh umat Islam yang memakan masa beberapa abad telah mengalamai kehakisan dan kekurangan sifat-sifat manusia yang lemah berlakunya pasang surut.

“Namun, Allah SWT mengekalkan ‘cahaya agama Islam’ dan tidak boleh dipadamkan sehingga Allah menentukan hari kiamat,” tegasnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi berkata terserah kepada umat Islam pada hari ini yang berada di zaman ‘surut’ (lemah) untuk beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.
Read More

PERUTUSAN SEMPENA MAULUD NABI SAW


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,
PRESIDEN PAS
Read More

UMNO TAK ANJUR PERARAKAN MAULIDURRASUL


Umno Tak Anjur Perarakan, Kenapa Pulau Pinang Dipertikai

http://idrisahmad.wordpress.com

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Umno memberikan jawapan kenapa mereka membuat bantahan terhadap isu Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang sedangkan 3 negeri yang diperintah Umno mengumumkan tidak mengadakan sebarang perarakan.

Bergegar tujuh petala langit bila mendengar Umno begitu nekad dan bersemangat memperjuangan perarakan maulidur Rasul yang umum mengetahui bahawa itu bukanlah sebahagian amalan yang dituntut atau diwajibkan oleh Islam.

Kerajaan Pulau Pinang dituduh sebagai cuba menindas orang Melayu dan cuba menafikan hak mereka untuk berarak. Umno menuduh Kerajaan Pakatan cuba melenyapkan syiar Islam dan macam-macam lagi pertuduhan yang bersifat rasis dan melampau.

Akhirnya, kejahilan Umno ditampar oleh jabatan agama di 3 negeri yang mereka perintah sendiri. Jabatan Agama Johor, Pahang dan Perlis memaklumkan minggu lepas kepada wartawan Malaysiakini bahawa mereka tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, kerana ia tidak dituntut oleh Islam.

Mujurlah masih ada Jabatan Agama yang berani untuk menempelak kejahilan Umno ini. Jika tidak Umno akan terus jadi kaduk naik junjung dan menatang penuh kejahilan mereka atas dasar politik dendam kesumat.

Seluruh negara tahu, Umno kini bagai cacing kepanasan selepas kalah PRU-12. Setiap bulan mereka mencari alasan untuk adakan demontrasi seluruh negara.

Setiap hari mereka memikir untuk cari isu untuk menghentam Pakatan. Mereka cuba jadi juara rakyat, cuba jadi juara Islam. Setelah modal ‘Melayu’ tidak laku, mereka mereka cuba jual ‘Islam’ untuk kepentingan politik mereka. Tapi rakyat tidak bodoh, Umnolah yang jahil.

Kepada seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama membaca surah yasin supaya Allah memberi hidayah kepada ahli umno sempena meraikan Maulidur Rasul. Rasulullah sepanjang hidupnya tidak pernah berhenti berdakwah, hatta kepada orang munafik dan Fasiq.

PAS yakin, ramai ahli Umno yang semakin cerdik hari ini dan mahu memilih Islam sebagai jalan perjuangan. Mungkin kerana takut hilang kesenangan dunia mereka masih ragu-ragu untuk tinggalkan Umno.

Kita bacalah Yasin dan doakan semoga mereka diberikan hidayah untuk tinggalkan Umno dan menyertai perjuangan Islam yang sebenarnya.

Tinggalkan perjuangan perkauman yang sempit kerana akhir hidup ini hanyalah liang lahad yang dinisankan dengan tulisan jawi dengan malaikat sedia menanti.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.
Read More

POLITIK SUKU AGAMA SUKU-TUJU KE MURTAD


KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan ulamak PAS Terengganu berkata, mereka yang mempunyai keyakinan “politik suku ugama suku” adalah membuka jalan untuk menjadi murtad.
Menurutnya, Mufti kerajaan Mesir, As-Sheikh Mustafa Sobri pernah mengeluarkan fatwa demikian terhadap ajaran sekular tersebut.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan DUN seberang Takir semalam.

”Dulu kata ‘politik suku ugama suku’, (sekarang) baru (nak) sedar, sudah berapa puluh tahun, baru nak sedar,

”dulu kalau orang kata ugama bersama politik (politik sebahagian ugama), dia (pemimpin Umno) kata itu (ia) ajaran salah,”katanya ketika mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan ada pemimpin Umno kini mengakui politik sebahagian dari ugama.

Beliau berkata ajaran tersebut telah dipegang oleh pemimpin Umno dan pengikutnya kerana gagal memahami tasawwur Islam yang dibawa oleh RasuluLlah SAW.

Katanya, mereka mungkin terpengaruh dengan ajaran yang terkandung didalam Bible Mathew, kitab suci ugama Kristian.

Beliau menjelaskan, kitab Injil yang telah diubah itu menyatakan persoalan tentang ugama adalah soal tuhan dan soal negara adalah soal raja (pemerintah).

”Sebab itu (Umno kata) kalau nak cakap politik tak boleh cakap dalam masjid, sebab (mereka kata) politik adalah kotor, politik yang kotor adalah politik dia, Umno dan Barisan Nasional,”jelasnya.

Sebaliknya, kata Ustaz Abu Bakar, politik Islam adalah politik yang mulia, kerana ia sebahagian dari ugama Islam.

Oleh sebab itu, katanya, PAS berbeza dengan Umno kerana PAS memperjuangkan islam dan Umno memperjuangkan ‘kebangsaan’.
Read More

HANYA BERMUKA-MUKA HAYATI MAULIDUR RASUL


- Hanya ‘Bermuka-muka’ hayati Maulidur Rasul

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Umno dan pengikutnya sebenarnya tidak faham bagaimana sebenarnya amalan menghayati sambutan Maulidur Rasul SAW.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Nik Salleh berkata apa yang Umno buat setiap kali kedatangan bulan Rabiulawal sekadar ‘bermuka-muka’.

Katanya, Umno gagal mendidik pemimpin dan ahli-ahlinya dengan berkesan melalui penghayatan Maulidur Rasul.

“Umno buat (maulidur rasul) sekadar ‘bermuka-muka’ sahaja kononnya, Umno hendak menghayati Islam.

“Dalam masa sama, dia (Umno) menolak syariat Rasulullah SAW, tolak hukum Islam yang menjadi sebahagian dari kehidupan manusia,” jelasnya

Bahkan, katanya program sambutan dengan perarakan yang dilakukan itu tidak mendatangkan keinsafan kepada rakyat.

Beliau juga menjelaskan apa yang penting adalah penghayatan syari'at yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Menurutnya, program yang menjurus ke arah itu perlu dibuat bagi menerangkan kepada masyarakat tentang perjuangan, pelaksanaan syariat dan perundangan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul banyak cara boleh buat kerana yang penting umat Islam menghayati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Program yang menjurus ke arah itu seperti ceramah, seminar, diskusi dan pameran yang menyedarkan masyarakat tentang sejarah Islam sebenar,” ujarnya.

Justeru itu, Ustaz Nik Zawawi menasihati umat Islam agar tidak hanya membuat perarakan sekadar untuk mengingati tarikh lahir Nabi SAW dan Tahun Gajah.
Read More

MAULIDUR RASUL - DOSA DAN PAHALA


Perjuangan Rasulullah SAW Adalah Untuk Memenangkan Islam

KUALA NERUS – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak cukup dengan sambut MaulidurRasul setahun sekali, berarak dan mengangkat sepanduk serta bersalawat, dalam masa yang sama perintah Allah tidak diamalkan.

Beliau berkata, Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW dengan agama Islam dan petunjuk dari Allah supaya memenangkan agama Islam.

Katanya perjuangan menegakkan Islam tidak berhenti walaupun Nabi Muhammad telah wafat (meninggal dunia).

”Tidak cukup dengan sambut MaulidurRasul setahun sekali, berarak dan mengangkat sepanduk serta bersalawat, dalam masa yang sama perintah Allah tidak diamalkan,

”dan dunia dalam keadaan huru hara, perompak semakin banyak, maksiat semakin banyak dan berlaku pelbagai bencana alam,

”puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana manusia meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukumnya dalam semua perkara,” tegasnya ketika berucap dalam ceramah penjelasan isu-isu semasa di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan-kenyataan akhbar arus perdana memutarbelitkan fakta dan menghentam Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan sambutan Maulidur Rasul.

Menurutnya, ‘ajaran salah’, yang mengatakan bahawa tidak ada dosa dan pahala dalam politik dan pemerintahan negara sedang menguasai orang Islam masa kini.

Justeru, orang-orang Islam menjadi umat yang semakin lemah, diratah oleh oleh ‘musuh-musuh’ di seluruh dunia.

”Kebanyakkan orang Islam (percaya) dosa pahala ini bab sembahyang (dan) bab pergi ke Mekah sahaja, dalam politik, dalam ekonomi dalam memerintah negara tak ada dosa pahala,

”inilah ajaran salah yang sedang mnguasai orang Islam hari ini, sehingga mereka menjadi umat yang makin hari makin lemah,”jelasnya.
Read More

PERUTUSAN TAHUN BARU CINA


Perutusan Sempena Tahun Baru Cina

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh peringkat masyarakat Tionghua di Malaysia.

PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Malaysia akan terus menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara. PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

Pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga turut menjadi bukti bahawa PAS ingin lebih memahami kehendak dan keperluan pelbagai rumpun masyarakat di Malaysia yang turut sama-sama menyumbang kepada pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.


Presiden PAS
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Read More