PELBAGAI LAPISAN KUNJUNGI RUMAH TERBUKA


Pelbagai lapisan masyarakat mengunjungi rumah terbuka sempena Eidul Fitri 1431H Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang diadakan di perkarangan Pejabat BPPNT, Taman Seri Intan, dekat sini, Rabu, 29 September.

Setiausaha PAS Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, ribuan pengunjung yang hadir menunjukkan kecenderungan rakyat dan sokongan moral mereka kepada PAS, dalam suasana politik negara yang tidak menentu kini.

Beliau turut menucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan.

"AlhamduliLlah, ramai yang datang ke majlis hari ini, pelbagai lapisan masyarakat, yang lama dan ramai dikalangan orang muda,

"bagi pihak PAS negeri Terengganu, saya mengucapkan terima kasih, JazakumuLlah khairal jaza', kepada sokongan yang berterusan,

"tidak lupa kepada semua ahli dan penyokong PAS yang menyumbang serta staf pejabat perhubungan yang bekerja sehingga rumah terbuka tahun ini dilaksanakan dengan jayanya,"katanya ketika ditemui.

Dalam perkembangan politik semasa, PAS menganggapkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima sebagai takdir dari Qada dan Qadar Allah SWT.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib berkata apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas adalah Qada dan Qadar dari Allah SWT.

Katanya, PAS akan mempertahankan Dun Galas hingga kekal menjadi milik PAS serta mengharapkan dengan kemenangan majoriti yang lebih besar.

“Apa yang berlaku di Dun Galas, kita (PAS) terima sebagai Qada dan Qadar dari Allah SWT. Insya’Allah, kita (PAS) akan sama-sama mempertahankan Dun Galas sehingga kekal menjadi milik PAS dalam pilihan raya kecil akan datang.

“Kita (PAS) harap dapat majoriti yang lebih besar, Insya’Allah. Kita (PAS) belum tentukan calonnya dan terserah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan untuk tentukan kerana mereka (Kelantan) lebih tahu,” jelasnya pada sidang media sempena program Rumah Terbuka PAS

Ketika menjawab persoalan cadangan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) Kelantan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Dun Galas itu PAS mengalu-alukan hasrat tersebut.

“Jika Umno tidak bertanding di Dun Galas, kita (PAS) mengalu-alukanlah kerana Umno sudah tidak berfungsi di Kelantan.

“Saya tidak mengharapkan (cadang tidak tanding) tetapi jika Umno-BN tidak mahu bertanding kita (PAS) mengalu-alukan,” ujarnya.

Menurutnya, PAS sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya tersebut meski pun Umno-BN mahu menguji kekuatan PAS di Kelantan.

Namun begitu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat tidak memandang mudah pilihan raya kecil tersebut kerana Dun Galas pernah menjadi ‘kubu’ kuat Umno-BN sebelum ini.

“Ya, kita (PAS) tahu ini (Galas) kali pertama kita (PAS) menang pada pilihan raya (PRU) 2008. Kali pertama kita (PAS) menang di Dun (Galas) itu. Saya rasa selepas kita (PAS) menang ini perkhidmatan wakil rakyat (Chek Hashim) itu orang (rakyat) boleh kenal.

“Khususnya, wakil rakyat PAS berkhidmat dengan baik di sana (Galas) dan kerajaan negeri Kelantan pun memberi suatu perkhidmatan yang baik. Ini akan menambah yakinkan para pengundi kepada PAS,” jelasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh.
Read More

RUMAH TERBUKA PAS NEGERI TERENGGANU


KUALA TERENGGANU - Semua Ahli, Penyokong dan Pendokong PAS serta Pakatan Rakyat di jemput dan dipersilakan hadir ke Rumah Terbuka Sempena Eidul Fitri PAS Terengganu di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS, Taman Seri Intan, dekat sini pada Rabu 20 Syawal, 1431H bersamaan 29 September, 2010

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Majlis Rumah Terbuka tersebut, InsyaAllah akan bermula pada jam 12.30 tengahari dan berakhir pada jam 4.00 petang

"Kita menjemput dan mepersilakan semua ahli, penyokong dan pendokong PAS serta Pakatan Rakyat untuk hadir bersama-sama bagi memeriahkan lagi sambutan sempena Eidul Fitri 1431H,

"InsyaAllah, marilah kira beramai-ramai meneruskan kemenangan yang kita sambut pada hari raya Eidul Fitri yang lalu, dan sekarang tibalah masanya untuk kita terjemahkan pula dalam dalam kerja-kerja kita,

"dan insyaAllah kemenangan pada pilihanraya akan datang,"ujarnya kepada Buletinonline.
Read More

RAKYAT TERENGGANU WAJIB TOLAK PEMIMPIN YG LEMAH DAN JAHAT

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus 'celik' dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.

"Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.

"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali," kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai 'bodoh' dan 'tidak pandai memerintah negeri' manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai 'jahat dan 'tidak tahu adab'.

Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam.

Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam.

"Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.

"Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.

"Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek.

"Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.

"Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini.

"Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat," katanya.
Read More

ILMU ISLAM AKAN HILANG BERSAMA KEMATIAN ULAMA'


Pusat Pengajian Islam Penting Elak Manusia Sesat

HULU TERENGGANU - Peranan alim ulama’ sangat penting dalam mempertahankan Islam dan kehidupan masyarakat Islam di dunia hari ini kerana ilmu-ilmu Islam akan hilang dari dunia, sedikit demi sedikit apabila para alim ulama’ meninggal dunia.

Akhirnya, yang tinggal adalah golongan yang jahil, yang memimpin manusia tanpa cahaya ilmu Islam, yang sesat lagi menyesatkan manusia lain.

Oleh itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib berkata pusat-pusat pengajian Islam amat penting untuk melahirkan ulama' pengganti kepada mereka yang telah 'pergi'

“Ulama’ adalah orang yang penting di atas dunia ini. Kewujudan pusat pengajian yang seperti ini adalah untuk melahirkan para alim ulama’. Alim ulama’ juga tidak kekal duduk di atas dunia ini.

“Bila mereka (ulama’) ini mati dan ‘pergi’ mereka membawa bersama-samanya ilmu. Allah SWT tidak menarik ilmu yang ada pada manusia dengan sewenang-wenangnya atau dengan semudah-mudahnya. Tetapi, ditarik melalui pemergiannya (kematian).

“Sehingga tidak ada yang tinggal melainkan pemimpin-pemimpin yang jahil. Dia (pemimpin) memberi jawapan tanpa ilmu dan mereka itu sesat lagi menyesatkan,” jelasnya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) Kali Ke-8 di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, Sabtu, 18 September.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu membandingkan para alim ulama’ seumpama bintang-bintang di langit yang dijadikan petunjuk serta pedoman kepada manusia.

Menurutnya, manusia menjadikan bintang di langit sebagai petunjuk serta pandu arah pusingan perjalanan sama ada di lautan atau di daratan.

“Kita (PAS) kena berusaha membanyakkan alim ulama’. Bandingan ulama’ di bumi ini seperti bintang-bintang di langit. Ianya (bintang) dijadikan petunjuk dan pedoman, di laut dan di darat.

“Tetapi, apabila bintang-bintang ini tidak bercahaya. Maka, nyaris-nyaris penunjuk jalan ini akan sesat,” ujarnya.

Oleh itu, kata Ustaz Harun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sama ada diperingkat pusat atau negeri-negeri di Terengganu, Kelantan, Kedah dan sebagainya cuba mewujudkan pusat-pusat pendidikan Islam.

Tujuannya, kata beliau adalah bagi melahirkan golongan ulama’ serta memahami Islam dari sumbernya yang asal.

“Jika memahami Islam bukan dari sumber yang asal (Quran dan Hadis) dibimbangi boleh terpesong, boleh ditipu dan diperkotak-katikkan oleh orang lain,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen tersebut seramai 50 graduannya masing-masing menerima sijil serta penghargaan dari Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (Kudqi) yang disempurnakan oleh Dato’ Harun Taib sendiri.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi Kudqi, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Kudqi, Ustaz Mahmood Sulaiman.
Read More

PERUTUSAN EIDULFITRI PRESIDEN PAS


Assalamu'alaikum. Selamat menyambut hari raya Eidilfitri. Hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa Ramadhan.

Menjadi kelaziman, selepas menunaikan ibadah-ibadah yang besar Allah taala mengurniakan hadiah besar. Sembahyang lima waktu dikurniakan Hari Jumaat, Puasa Ramadhan dikurniakan Hari Raya Eidilfitri. Ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban.

Hari raya Eidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiah dengan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, supaya menjadi org-org bertakwa kepada Allah SWT.

Adalah menjadi hikmah yang besar Allah swt memilih bulan Ramadhan berlakunya peristiwa al-Quran diturunkan dan peristiwa peperangan Badar, peristiwa pembukaan Mekah. Diikuti dengan bulan Syawal peristiwa Ahzab.

Menunjukkan bahawa kemuncak takwa yang ditarbiahkan melalui puasa ramadhan orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quranul karim satu-satunya petunjuk yang benar, yang Esa daripada Allah SWT.

Setelah Allah swt menyatakan tujuan ibadat puasa itu supaya kamu bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT juga menegaskan kitab ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Hanya orang-orang bertakwa menjadikan al-Quran sebagai petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quranul karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Selamat Menyambut Eidul Fitri.

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS)
Read More

PERUTUSAN EIDULFITRI PESURUHJAYA PAS TERENGGANU


Bismillahirrahmanirrahim;

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada seluruh petugas-petugas parti, kepada semua ahli-ahli parti dan kepada semua orang-orang Islam, muslimin dan muslimat di seluruh negara.

Saya berdoa supaya Ramadan ini menjadikan saudara-saudara sekalian lebih baik dari Ramadan yang lepas. Dan saudara-saudara menyambut hari raya tahun ini dengan lebih baik, lebih berkat dan lebih ceria,

Insya’Allah. Dan dengan semangat Ramadan dan semangat raya baru ini menambahkan lagi semangat perjuangan yang telah sedia ada pada diri saudara-saudari.

Kepada yang belum menyertai PAS, diharapkan tidak lama lagi akan dapat bersama-sama dengan parti PAS untuk memperjuangkan Islam.

Kepada yang telah bersama-sama saya harap dia dapat mempergigihkan serta memperteguhkan imam, bersabar bersama dengan perjuangan Islam ini sehingga mereka mati syahid atau diberi kemenangan oleh Allah SWT

Dan saya doakan masa depan yang lebih baik kepada saudara-saudara sekalian sama ada keimanan, keceriaan hidup, kemudahan hidup dan lain-lain lagi. Semoga Allah Ta’ala memberi keberkatan kepada saudara-saudara sekalian dari apa yang telah diberi kepada saudara-saudari. Selamat Menyambut Hari Raya Idulfitri.

Ustaz Dato’ Harun Taib
Ketua Dewan Ulama' Merangkap Pesuruhjaya PAS Terengganu
Read More

KERJA POLITIK MENYEMPURNAKAN AL-QURAN SEPENUHNYA


KUALA TERENGGANU - Al-Quran yang diturunkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan mengandungi perintah-perintah Allah yang wajib dilaksanakan oleh manusia.

Dalam masa yang sama, hanya manusia yang bertaqwa sahaja yang menerima al-Quran manakala sebaliknya mereka yang tidak bertaqwa tidak akan menerima al-Quran

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Al-Quran bukan sahaja dibaca tetapi juga menjadi petunjuk kepada manusia, dalam semua urusannya.

Oleh itu, katanya, bagi melaksanakan petunjuk di dalam al-Quran itu, mestilah menunaikan perkara yang wajib iaitu politik kerana semua perintah dalam al-Quran tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan politik.

"al-Quran hanya diterima oleh mereka yang bertaqwa kepada Allah, dalam masa yang sama Allah menjadikan tujuan kuasa adalah untuk bertaqwa kepada Allah,

"Oleh kerana al-Quran bukan hanya dibaca, yang penting menjadi petunjuk kepada manusia dalam semua urusan mereka, bagi melaksanakan petunjuk ini mestilah menunaikan perkara yang wajib iaitu politik,

"kita tidak boleh melaksanakan semua perintah al-Quran, melainkan dengan politik,"katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar bersama para petugas pejabat Perhubungan PAS negeri Terengganu.

Menurutnya nabi Muhammad SAW telah berhijrah ke Madinah untuk menubuhkan sebuah kerajaan bagi tujuan melaksanakan kewajipan politik.

"Setelah ada orang (Madinah) yang mahu menerima (Islam) dan berlakunya hijrah, ditegakkan kerajaan Islam yang diwajibkan itu, barulah Allah menyempurnakan al-Quran,"katanya.

Oleh kerana itu, katanya, umat Islam mestilah faham, kerja politik adalah suatu kerja yang sangat besar dan penting, bagi menyempurnakan ajaran al-Quran itu dilaksanakan sepenuhnya.
Read More

KHUTBAH KHAS EIDUL FITRI 1431 H


Khutbah KHAS Eidul Fitri 1431 H : Tuan Guru Presiden PAS


...Hanya Allah taala yang menentukan pahalanya dan mencapai matlamat puasa dengan menjadi orang-orang yang bertaqwa dengan bukti menegakkan al-Quran menjadi petunjuk seluruh perjalanan hidup kita, dari dunia sehingga hari akhirat...


Khutbah KHAS ini dalam bentuk PDF, Sila KLIK Di Sini.

Khutbah KHAS ini dalam bentuk Word, Sila KLIK
Di Sini.


SALAM EIDUL FITRI

KULLU 'AAM WA ANTUM BIKHAIR

Read More

BERIKAN KEPERCAYAAN PENUH KEPADA PAS


Berikan kepercayaan penuh kepada PAS - Abdul Hadi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.

"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga, menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.
Read More